Wednesday, September 22, 2010

Tokoh Islam AS saran minggu dialog


DUA anggota polis berkawal di hadapan bangunan yang dicadang untuk dijadikan Pusat Komuniti Islam dan masjid dekat Ground Zero di New York, baru-baru ini. - AP


NEW YORK 21 Sept. - Ketua-ketua pertubuhan Islam terkenal Amerika Syarikat (AS) semalam, meminta satu minggu dialog melibatkan pelbagai agama diadakan, bagi mencegah sikap tidak bertolak-ansur terhadap agama dan menyatakan mereka menyokong hak untuk membina pusat Islam berhampiran tapak Ground Zero.
"Kami menyokong hak Perlembagaan penduduk Islam dan semua agama di AS, untuk membina rumah ibadat di mana-mana lokasi di negara ini seperti yang dibenarkan undang-undang serta peraturan tempatan," kata ketua-ketua pertubuhan Islam dalam satu kenyataan yang disampaikan di tapak pembinaan pusat Islam serta masjid yang dicadangkan, yang dinamakan 'Park51'.
Mereka turut meminta 'satu minggu dialog' diadakan pada 22 hingga 24 Oktober ini, semasa penduduk Islam menganjurkan rumah terbuka di masjid-masjid bagi meredakan ketegangan.
"Kami menyeru penganut Islam 'membuka' masjid-masjid bagi mengalu-alukan kehadiran orang ramai supaya mereka boleh memahami Islam dan masyarakat Islam Amerika.
"Kami juga meminta penduduk Islam mengunjungi rumah ibadat penganut agama lain," kata Pengarah Eksekutif Kebangsaan Majlis Hubungan Islam Amerika, Nihad Awad.
Ketua-ketua agama itu bercakap selepas bertemu di satu sidang kemuncak yang panjang kelmarin di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Kennedy.
Sebanyak 20 kumpulan menyertai sidang kemuncak tersebut termasuk Majlis Hubungan Islam Amerika, Pertubuhan Islam Amerika Utara, Lingkungan Islam Amerika Utara dan Gabungan Islam Amerika Utara.
Turut hadir pada pertemuan itu ialah pemaju bertanggungjawab membina masjid dan pusat Islam berkenaan iaitu Sharif El-Gamal.
Individu yang mengetuai rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam tersebut, Imam Feisal Abdul Rauf mengalu-alukan sokongan ketua-ketua pertubuhan Islam itu melalui satu kenyataan.
"Saya mengalu-alukan sokongan Majlis Kepimpinan Islam terhadap rancangan 'Cordoba Initiative' untuk meneruskan pembinaan sebuah pusat masyarakat di Lower Manhattan, yang telah menarik perhatian seluruh negara itu dan dunia.
"Pada hari apabila ketua-ketua Islam Amerika menyatakan pendirian mereka yang menyokong hak sivil dan mengutuk ketaksuban agama dari pelbagai bentuk, penting untuk kita mengingati bahawa usaha untuk memelihara keamanan di seluruh dunia mesti bermula dalam masyarakat di negara ini," katanya. - AP

No comments:

Post a Comment