Wednesday, September 22, 2010

Plat 'MCA' makin 'panas'


PUTRAJAYA 21 Sept. - Isu nombor plat kenderaan berhuruf 'MCA' bertambah hangat apabila Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menunjukkan bukti bahawa terdapat individu yang cuba mengehadkan nombor plat dengan huruf tersebut kepada golongan tertentu sahaja.
Cho Ha hari ini menunjukkan surat bertarikh 17 Februari 2010 yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang mahu nombor plat berhuruf 'MCA' tidak dibuka kepada tender awam.
Surat tersebut ditujukan kepada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Solah Mat Hassan dan isi kandungannya adalah seperti berikut.
"Dimaklumkan bahawa YB Menteri Pengangkutan telah mengarahkan supaya tender nombor pendaftaran kenderaan bagi negeri Melaka iaitu MCA1-9999 tidak dibuka kepada umum," menurut surat itu.
Surat tersebut sekali gus menimbulkan pertanyaan berhubung kenyataan Tee Keat semalam yang menafikan tuduhan bahawa beliau menggunakan kuasanya untuk membekukan penjualan nombor plat berhuruf 'MCA'.
Cho Ha ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Aidilfitri di Kementerian Pengangkutan di sini.
Tee Keat ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam turut menjelaskan bahawa beliau bukan jenis yang taksub kepada nombor dan tidak pernah mengarahkan supaya plat 'MCA' dikhaskan kepada MCA.
Cho Ha yang diminta mengulas lanjut mengenai penafian Tee Keat bagaimanapun memilih untuk berdiam diri tetapi hanya senyum kepada pemberita.
Setiausaha Agung MCA itu bagaimanapun menjelaskan, beliau terpanggil untuk membatalkan arahan terdahulu supaya plat dengan huruf 'MCA' dapat dijual mengikut norma-norma biasa.
"Nombor plat di Melaka hanya sampai 'MBY' dan ada banyak masa lagi sebelum sampai giliran 'MCA', kita tunggu dan lihat.
"Kalau ikut cara biasa, nombor plat kena dijual mengikut giliran mengikut abjab A hingga Z.
"Keadaan sama juga yang berlaku kepada plat nombor 'DAP' di Kelantan dan 'PAS' di Pulau Pinang, plat ini bukan dimiliki oleh ahli DAP atau ahli Pas," katanya.

No comments:

Post a Comment