KUALA LUMPUR, 21 Sept: Cadangan Perbadangan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) melaksanakan pemotongan gaji secara wajib ke atas peminjam wajar dijadikan pilihan terakhir, kata Pengarah Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.
"Sikap profesional kerajaan perlu dalam hal ini, potongan gaji patut menjadi pilihan akhir," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Baginya, karajaan sepatutnya melaksanakan tanggungjawab menyediakan prasarana pendidikan kepada rakyat memandangkan kerajaan saban tahun mengutip cukai daripada rakyat.
Lanjutan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu mempersoal cadangan kerajaan untuk mengubal semula Akta PTPTN 1997 demi memeras lebih 46 ribu graduan yang dianggap liat melangsaikan pinjaman masing-masing.
"Adakah munasabah lebih kurang 2.9 peratus (46 ribu) sahaja dari keseluruhan peminjam (1.6 juta) dianggap liat membayar hutang tanpa terlebih dahulu lihat soal pekerjaan mereka, tanggungan-tanggungan mereka (serta) realiti gaji yang kecil untuk tampung kos hidup yang tinggi ini yang dihadapi mereka," ujarnya.
Pun begitu, beliau tidak pula menghalang cadangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membantu PTPTN untuk menasihatkan kumpulan graduan yang berkemampuan supaya melunaskan pinjaman masing-masing.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan PTPTN memansuhkan caj kos pengurusan atau qard al-hasan.
Ujarnya, PTPTN sepatutnya mengutip hutang pokok sahaja daripada peminjam terbabit.
"Kalau qardhul hassan, tak perlu bayar faedah pun, sepatutnya bayar pinjaman pokok sahaja.
"Rakyat bayar cukai, pinjaman PTPTN ini pun asalnya untuk membantu pelajar menikmati pendidikan," ujarnya.
Menurut beliau, peratus caj sama ada 1 peratus atau 3 peratus yang dikenakan ke atas peminjam seakan menyerupai sistem riba.
Ini kerana, katanya penentuan caj tersebut berdasarkan jumlah keseluruhan pinjaman, bukannya berasaskan kos sebenar pengurusan yang dialami oleh PTPTN sendiri.
Sedangkan Qard al-Hasan yang sebenar, menurut beliau adalah bersifat membantu, bukan terus mengenakan caj kepada mereka yang dilihat gagal membayar hutang disebabkan tidak mampu membayar.
Ahad lalu, Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said memaklumkan bahawa pindaan Akta PTPTN 1997 bakal dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya pada awal tahun depan.
Racangan itu bagi membolehkan PTPTN menguatkuasa polisi potongan gaji secara wajib ke atas mereka yang terbabit pada Jun tahun yang sama.
No comments:
Post a Comment