Wednesday, September 22, 2010

Sukar selesai masalah


Oleh Ifwan Tun Tuah dan Rabi'Atul 'Adawiyah Ismail

2010/09/21

Rumah dilanda banjir kilat berterusan jika penduduk enggan benar bina tebatan: JPS

LABU: Keengganan sebahagian besar penduduk yang tinggal di sepanjang Anak Sungai Batang Labu, di sini memberi kebenaran kepada pihak berkuasa melaksanakan projek tebatan banjir menyebabkan projek berkenaan tertangguh lebih lima tahun. 

Lebih memburukkan keadaan sepanjang tempoh itu, beberapa kampung dan kawasan perumahan berhampiran sungai terbabit sering dilanda banjir kilat berikutan sistem pengairan sungai itu yang tidak sempurna. Jurucakap Jabatan Pengairan Saliran (JPS) negeri, berkata peruntukan Projek Tebatan Sungai Batang Labu diluluskan pada Rancangan Malaysia Ke-8 dan sekali lagi ditambah pada RMK-9, namun pelaksanaannya sering bermasalah. "Projek itu merangkumi pelebaran dan pedalaman Sungai Batang Labu dan anak sungai itu dalam usaha mengatasi masalah banjir kilat. 

"Namun, sejak beberapa tahun lalu, sebilangan besar penduduk di tebing sungai tidak membenarkan kita masuk untuk melakukan sebarang kerja termasuk untuk penyelenggaraan, apatah lagi mengorek sungai itu," katanya kepada Berita Harian. 

Beliau berkata, pihaknya tidak dapat menjalankan kerja berkenaan tanpa kerjasama penduduk kerana sebahagian sungai berada dalam tanah persendirian, selain ada penduduk yang membina rumah terlalu hampir dengan sungai itu. 

Beliau berkata, pihaknya kesal kerana penduduk tetap enggan bekerjasama walaupun ditawarkan pampasan setimpal bagi membolehkan projek itu dilaksanakan. 
Jumaat lalu, kira-kira 2,000 penduduk di Kampung Batu 8, 9, dan 10 di sini terjejas apabila rumah mereka dinaiki air mencecah 1.2 meter akibat banjir kilat apabila air melimpah dari Sungai Batang Labu dan Anak Sungai Batang Labu selepas hujan lebat lebih empat jam. 

Tinjauan Berita Harian mendapati beberapa rumah di kawasan berkenaan terletak terlalu hampir dengan sungai malah ada sebuah kedai makan dibina di atas anak sungai terbabit. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu, berkata penduduk perlu memberi kerjasama kepada JPS demi kepentingan bersama. 

"Jika projek ini tidak dapat dilaksanakan, masalah ini tidak akan selesai dan penduduk juga yang akan sentiasa diancam bahaya serta kerugian akibat banjir kilat. 

"Kita minta supaya semua penduduk terbabit memberi kerjasama, kerana jika hanya sebahagian saja berbuat demikian, sistem pengairan yang dirancang tidak akan berfungsi dengan baik," katanya. 

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Batu 8 Labu, Alek Chai, berkata beliau akan berbincang dengan penduduk supaya membenarkan pihak berkuasa menjalankan projek berkenaan bagi menyelesaikan masalah banjir kilat. 

"Dalam pada itu, kita memohon pihak berkuasa mengambil langkah sementara termasuk mendalamkan kawasan tertentu pada anak sungai berkenaan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat," katanya. 

No comments:

Post a Comment