SEREMBAN 21 Sept. - Kerajaan diminta meminda Akta Asuhan Kanak-kanak 1984 untuk memastikan keselamatan golongan itu yang dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (taska) lebih terjamin.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh (gambar) berkata, antara perkara baru yang perlu dimasukkan dalam akta tersebut adalah penetapan bilangan kanak-kanak yang dijaga, sistem penjagaan selain memperketatkan syarat menguruskan premis tersebut.
Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan segera untuk mengelakkan insiden atau kematian berlaku di taska pada masa akan datang.
''Kita tidak mahu berita tentang kematian bayi atau kanak-kanak di pusat asuhan terus meningkat di negara ini.
''Jika pengusaha pusat itu bersikap lebih bertanggungjawab dan berhati-hati menguruskannya berlandaskan peraturan, kematian dapat dihindari," katanya di sini hari ini.
Muhd. Khairun yang juga Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO berkata demikian selepas menziarah keluarga bayi malang berusia tiga bulan, Nor Azwa Safrina Hairul Anuar yang meninggal dunia di sebuah taska di Paroi, Negeri Sembilan, semalam.
Beliau memberitahu, terdapat pusat asuhan yang mengambil kanak-kanak lebih daripada kuota yang ditetapkan.
''Ada ketikanya kanak-kanak yang dijaga berjumlah 30 orang tetapi pengasuh hanya empat orang. Ada juga pengasuh yang tidak mempunyai kelayakan dan lebih mendukacitakan ada pula pengusaha mengupah remaja untuk menjaga kanak-kanak ini. Ia adalah perbuatan yang bahaya," katanya.
Beliau kecewa dengan kejadian yang menimpa Nor Azwa Safrina dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta berharap kejadian seperti itu tidak berulang lagi di negara ini.
Muhd. Khairun juga bersedia menghulurkan khidmat nasihat dan guaman kepada keluarga mangsa.
Semalam, akhbar melaporkan bayi perempuan itu meninggal dunia selepas dihantar oleh ibu bapanya ke sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Paroi.
Menurut nenek mangsa, Zadariah Ismail, 57, dia bersama suaminya bergegas ke pusat asuhan itu pada pukul 11 pagi semalam selepas salah seorang penjaga pusat berkenaan menghubunginya bagi memaklumkan keadaan mangsa yang didapati semakin lemah.
Ketika kejadian itu, ibu bapa mangsa, Norhida Md. Noor, 26, dan Khairul Anwar Abdul Aziz, 30, yang merupakan guru sedang mengajar di sekolah dalam daerah ini.
No comments:
Post a Comment