Wednesday, September 22, 2010

Turki gesa Asia Barat jadi rantau bebas nuklear


Abdullah Gul berucap pada Sidang Kemuncak Sasaran Pembangunan Milenium di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kelmarin. - REUTERS


NEW YORK 21 Sept. - Presiden Turki, Abdullah Gul akan menggesa supaya Asia Barat dijadikan rantau yang bebas sama sekali daripada senjata nuklear apabila beliau berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Khamis ini.
Gul dalam wawancara denganAssociated Press (AP) semalam berkata, beliau bercadang untuk membangkitkan isu tersebut dalam ucapannya kepada badan dunia itu.
"Kami ingin melihat rantau kami bebas daripada senjata nuklear. Rantau kami tidak seharusnya menghadapi ancaman sedemikian," kata Gul.
Beliau pernah membuat gesaan itu pada masa lalu tetapi kenyataan terbarunya dibuat ketika hubungan Turki dengan Israel semakin keruh berikutan serangan komando rejim Zionis ke atas sebuah kapal bantuan Turki ke Genting Gaza pada 31 Mei lepas.
Israel diandaikan oleh banyak pihak telah menghimpunkan sejumlah senjata nuklear yang cukup banyak sejak 1960-an, tetapi enggan mengesahkan statusnya sebagai sebuah kuasa nuklear.
Kenyataan Gul itu dijangka mendapat tentangan Amerika Syarikat (AS) kerana Washington melihat sebarang langkah untuk membangkitkan isu senjata nuklear Israel sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan kestabilan ketika rundingan damai Israel-Palestin baru disambung semula.
Pentadbiran Presiden Barack Obama minggu lepas, memberi amaran kepada negara-negara Arab, mereka mungkin turut menjadi punca kegagalan rundingan damai Asia Barat jika mereka terus mengenakan tekanan ke atas Israel berhubung program nuklearnya.
Pegawai AS mendakwa zon bebas nuklear masih boleh diwujudkan di Asia Barat sekalipun Israel terus mempertahankan senjata nuklearnya.
Menurut Gul, Turki yang kini memegang giliran sebagai Presiden Majlis Keselamatan PBB hanya mahu memastikan kestabilan dan keselamatan Asia Barat.
Katanya, pegawai Turki tidak mengandaikan Iran menjalankan program nuklear untuk kegunaan awam semata-mata tetapi 'kita tentunya tidak boleh menuduh Iran merancang untuk membina senjata nuklear tanpa bukti'.
"Kita mahu Iran bersikap telus dengan pegawai Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Kami di Turki mahu melihat masalah ini diselesaikan secara aman menerusi saluran diplomatik," kata Gul. - AP

No comments:

Post a Comment