Wednesday, September 22, 2010

Jenapala nafi beliau dipecat, masih ahli PKR


KUALA LUMPUR 21 Sept. - Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), P.S. Jenapala (gambar) menafikan dakwaan beliau telah dipecat daripada parti itu pada Februari tahun lalu.
Menurutnya, dakwaan itu tidak berasas kerana dia telah menyemak status keahliannya di ibu pejabat PKR Rabu lalu dan dimaklumkan masih ahli parti yang sah.
Malah, tambahnya, beliau telah menyemak senarai nama ahli-ahli yang layak untuk bertanding dan memilih termasuk di peringkat cabang yang sedang berlangsung sekarang yang diedarkan ibu pejabat PKR.
"Dalam komputer di ibu pejabat masih tersenarai nama saya sebagai ahli yang sah. Mustahil berlaku kesilapan teknikal untuk parti sebesar PKR ini.
"Nama saya disenaraikan sebagai ahli seumur hidup dengan nombor keahlian A120000001 iaitu sebagai ahli pertama bagi Cabang Ipoh Barat. Macam mana mereka menyatakan saya bukan ahli?
"Saya juga hairan kenapa hanya setelah mengumumkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden barulah pimpinan parti mendakwa saya telah dipecat," katanya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang dimuatkan dalam blog http://anwaribrahimblog.com hari ini bahawa Jenapala tidak lagi menjadi ahli PKR setelah dipecat pada Februari 2009 kerana mengkritik kepimpinan parti secara kasar dan bertindak menubuhkan parti baru.
Katanya, Jenapala tidak boleh dicalonkan untuk apa-apa jawatan dalam pemilihan PKR 2010.
Justeru, kata Saifuddin Nasution, tindakan Jenapala melontarkan pelbagai tuduhan yang amat tidak berasas, palsu dan bohong dilihat bukan perkara luar biasa memandangkan telah terbukti dia adalah satu watak yang khianat pada perjuangan parti.
Semalam, Jenapala, mencabar Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden parti itu, Azmin Ali menafikan secara terbuka mereka tidak terlibat dengan taktik kotor untuk meraih pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan kali ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Jenapala mendakwa pelbagai tuduhan yang dibuat terhadapnya bertujuan memastikan individu tertentu mendapat laluan mudah untuk menang pada pemilihan tertinggi parti kali ini.
"Selagi saya ada di sini, saya akan pastikan mereka menghadapi kesukaran untuk menang mudah.
"Saya juga akan pastikan mereka tidak tidur lena dan bermimpi yang indah sahaja," ujarnya.

No comments:

Post a Comment