Sunday, September 19, 2010

Isu desak letak jawatan selesai


SHAH ALAM 18 Sept. - Bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib menyifatkan isu desakan supaya beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya sebelum ini sudah selesai.
Menurutnya, isu itu tidak perlu diperbesar-besarkan kerana beliau telah menyerahkan tugas-tugas selaku Ketua UMNO bahagian itu kepada Timbalannya, Datuk Yahaya Bujang.
Muhammad bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya pada masa depan.
"Tidak ada isu lagi mengenai desakan itu (letak jawatan). Semuanya telah selesai," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, pemimpin akar umbi UMNO Bahagian Kelana Jaya menuntut Muhammad membuat keputusan sama ada mahu kekal menerajui mereka atau meletakkan jawatannya sebagai ketua UMNO bahagian berkenaan.
Desakan itu tercetus setelah bekas Menteri Besar itu memencilkan diri terhadap perjalanan UMNO bahagian berkenaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
Namun, pada 20 Julai lalu, Yahaya dalam satu kenyataan media mengesahkan diberikan mandat oleh Muhammad untuk menjalankan tugas sebagai Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya berkuat kuasa April 2009.
Malah, Yahaya turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa UMNO bahagian itu pincang ekoran tindakan Muhammad memencilkan diri selain mahu semua ahli serta pemimpin parti di bahagian itu menghentikan membuat desakan sedemikian.
Menurutnya, tidak timbul soal kepincangan melibatkan UMNO bahagian itu memandangkan semua perancangan serta aktiviti parti di kawasan tersebut berjalan dengan baik dan mendapat sokongan semua pihak.

No comments:

Post a Comment