Sunday, September 19, 2010

Pangkalan data kesan gelaran Datuk


KUALA LUMPUR 18 Sept. - Pemuda MIC hari ini menggesa kerajaan menubuhkan pangkalan data yang akan menggabungkan semua gelaran yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.
Ketua Pemudanya, T. Mohan berkata, pangkalan data itu perlu memandangkan semakin ramai individu menipu orang ramai dengan mendakwa mereka bergelar "Datuk" atau "Datuk Seri".
"Contohnya suspek dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dikatakan telah membeli gelaran Datuk daripada seorang ahli perniagaan wanita dengan bayaran RM180,000 tetapi semakan mendapati dia tiada apa-apa gelaran.
"Pada masa sama, terdapat banyak individu mendakwa mereka dianugerahkan gelaran Datuk kerana gelaran seperti itu banyak di negara ini.
"Masalah timbul kerana tiada tempat yang membolehkan orang ramai menyemak dan mengesahkan sama ada dakwaan tersebut benar ataupun tidak,'' katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohan berkata, kerajaan sepatutnya mengeluarkan satu garis panduan yang jelas mengenai cara untuk mengenal pasti seseorang yang mendapat gelaran kenamaan agar tiada lagi kes-kes ditipu oleh individu bergelar Datuk palsu.
Tambahnya, jika pangkalan data itu menjadi kenyataan, sesiapa sahaja boleh melayarinya untuk mengenal pasti dan mengesahkan bahawa seseorang itu memang mempunyai gelaran kenamaan seperti itu.

No comments:

Post a Comment