Sunday, September 19, 2010

Menteri Besar Perak yakin lebih ramai sokong kerajaan negeri


PARIT 18 Sept. - Lebih ramai pemimpin dan ahli parti pembangkang akan meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong usaha kerajaan negeri membantu merealisasikan hasrat rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keyakinan itu berdasarkan maklum balas positif daripada pihak-pihak terbabit yang mengakui sudah bosan dengan tindak-tanduk pucuk pimpinan parti masing-masing kerana lebih mementingkan soal kuasa.
"Ini perkembangan yang sedang berlaku, semakin ramai pemimpin dan ahli parti-parti pembangkang hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan mereka yang bukan berjuang untuk bangunkan rakyat dan negeri Perak tetapi hanya tertumpu kepada mahu berkuasa," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Jamuan Hari Raya Rakyat anjuran UMNO Bahagian Parit di sini hari ini.
Hadir sama ialah isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli; Ahli Parlimen Parit, Mohd. Nizar Zakaria; Ketua UMNO Bahagian Parit merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja, Datuk Mohd. Zaim Abu Hassan serta para pemimpin Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian itu.
Semalam, empat pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak dan 72 ahli Wanita Cabang Ipoh Barat parti itu bertindak keluar parti.
Tindakan yang dibuat hanya dua hari sebelum Mesyuarat Agung Cabang-Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlangsung esok, berikutan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti yang mengamalkan politik kotor dan meminggirkan ahli.
Menurut Zambry, beliau mengalu-alukan penyertaan kesemua bekas pemimpin serta ahli PKR tersebut dalam membantu kerajaan negeri membangun dan memajukan negeri Perak.
Menjawab satu soalan, Menteri Besar berkata, pihaknya tidak hairan dengan dakwaan yang dilemparkan oleh pemimpin pakatan pembangkang yang mengatakan kemasukan kumpulan tersebut berikutan mereka itu 'dibeli'.
"Biasanya bila berlaku tindakan ada pemimpin atau ahli mereka masuk Barisan Nasional (BN) atau umum menjadi ahli politik Bebas, pembangkang akan meletakkan kumpulan ini di tahap sehina-hinanya.
"Itu memang tabiat mereka sejak dahulu hinggalah sekarang tanpa mahu melihat kelemahan parti sendiri yang mengamalkan sikap berpuak-puak dan hanya mementingkan kelompok tertentu sahaja," tegas beliau.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta supaya pemimpin-pemimpin di negeri ini tidak hanya mendengar masalah rakyat tetapi yang lebih penting ialah mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang berlarutan.

No comments:

Post a Comment