NIBONG TEBAL 18 Sept. – Pemuda UMNO mendesak kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung dakwaan sebuah blog bahawa sumber dana bagi pemberian wang ihsan RM100 kepada warga emas di negeri ini adalah daripada hasil perjudian.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dakwaan yang disiarkan blog www.pisau.net itu menimbulkan keresahan terutama kepada warga emas yang menerima wang ihsan berkenaan.
“Kita tidak tuduh kerajaan negeri tetapi kita minta mereka beri penjelasan kerana selepas hampir seminggu perkara ini didedahkan di dalam blog, kerajaan negeri tidak tampil membuat sebarang penjelasan.
“Kerajaan negeri perlu menjelaskan secara terperinci sumber dana bagi pemberian bantuan tersebut dan jika dakwaan ini tidak benar, kita cabar kerajaan negeri ambil tindakan undang-undang ke atas blog berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Laman web itu mendakwa kerajaan negeri yang sebelum ini pernah menangguhkan pembayaran wang ihsan dengan alasan kononnya pangkalan data warga emas digodam, sebenarnya menghadapi masalah kekurangan dana untuk meneruskan pemberian wang ihsan tersebut..
Blog itu dipetik sebagai berkata: “Untuk pengetahuan anda ketika itu mereka (kerajaan negeri) sedang berusaha mendapatkan dana dari pelbagai pihak sebab itulah pembayaran terpaksa ditangguhkan. Banyak pertemuan diadakan di sekitar Georgetown, adakalanya perbincangan dibuat di atas Komtar.
“Setelah puas melobi dan bertemu dengan beberapa tauke besar, maka kerajaan negeri berjaya mendapatkan dana di atas sumbangan dari hasil judi.”
Reezal menegaskan, dakwaan yang dibuat blog tersebut sangat serius kerana ia melibatkan wang untuk orang Islam yang kini diragui sumbernya.
“Kalau dakwaan ini benar, maka warga emas terbabit mendapat wang hasil daripada duit haram dan bagi yang beragama Islam, wang dari hasil judi adalah haram dan tidak boleh sama sekali dibelanjakan atau dimakan,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment