Sunday, September 19, 2010

Muhammad sedang berehat bukan 'merajuk'


MUHAMMAD Muhd. Taib berbual dengan tetamu pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Seksyen 7 Shah Alam, Selangor, semalam.


SHAH ALAM 18 Sept. - Setelah lebih dua tahun mendiamkan diri, bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib tampil menafikan spekulasi bahawa beliau 'merajuk' dengan kepimpinan UMNO dan mahu bersara daripada arena politik.
Ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Seksyen 7 di sini malam tadi, beliau menegaskan, spekulasi itu tidak benar sebaliknya tindakannya menyepikan diri hanya untuk berehat.
Katanya, tiada sebab beliau perlu merajuk hanya kerana tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet mahupun Badan Perhubungan UMNO Selangor selain tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan UMNO pada 2009 kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Tak ada apa yang kecewa. Kita (saya) tidak ada pegang apa-apa jawatan, (maka) kita jadi orang biasalah. Tengok keluarga dan bagi budak-budak makan ubat," katanya dalam nada berseloroh.
Muhammad yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya sebelum ini diminta menyatakan pendirian sama ada mahu terus menerajui bahagian itu atau tidak kerana menyepikan diri sejak dua tahun lalu.
Menurut Muhammad, beliau sentiasa mengikuti perkembangan politik tanah air serta mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli parti yang menandakan beliau tidak berhasrat mahu berundur sepenuhnya daripada arena politik.
"Kita tengoklah nanti, masa akan menentukan," jelasnya yang lebih 40 tahun bergiat aktif dalam UMNO.
Muhammad yang merupakan bekas Menteri Besar dari 1986 hingga 1997 ketika ditanya dakwaan beliau mungkin keluar UMNO dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, perkara tersebut hanya dakwaan semata-mata.
Menurutnya, beliau memang ada berjumpa dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi hanya dalam majlis perkahwinan dan bukannya untuk menyertai PKR.
"Itu desas-desus, saya tak ada jawatan, saya buat kerja biasa. Kadang- kadang ada majlis kahwin berjumpa (Abdul Khalid). Tak apalah kalau nak cerita macam-macam, dengar sajalah," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad turut menyatakan pendirian menolak usaha pihak tertentu yang berhasrat untuk mengetengahkan individu tertentu sebagai tokoh atau calon untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri termasuk di Selangor.
Katanya, tindakan tersebut tidak wajar kerana ia akan membawa kepada situasi yang buruk apabila wujudnya usaha pihak lain untuk melemahkan pemimpin terbabit.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar pemimpin UMNO dan BN di semua peringkat mengukuhkan parti terlebih dahulu sebelum mengemukakan mana-mana tokoh untuk mengetuai UMNO dan BN negeri-negeri.
"Di Selangor kalau ada pihak mahu kemukakan tokoh selain hierarki yang ada sekarang, memang tidak boleh.
"Kita sudah ada pengerusi (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan timbalan pengerusi (Datuk Seri Noh Omar) dan itulah tokohnya, tak perlu kemukakan yang lain nanti perpecahan akan berlaku," katanya.

No comments:

Post a Comment