TEMERLOH: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan melaksanakan pemotongan gaji secara wajib bagi mendapatkan semula pinjaman daripada peminjam yang gagal berbuat demikian mulai Jun tahun depan.
Pengerusinya, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, mulai Jun tahun depan, semua peminjam terutama lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya, diwajibkan membayar balik pinjaman itu secara potongan gaji melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ismail yang mula memegang jawatan sebagai Pengerusi PTPTN bermula 1 September lepas berkata, pelaksanaan itu akan membabitkan pindaan Akta PTPTN 1997. Katanya, cadangan bagi meminda undang-undang itu akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan. "Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan pihak LHDN dalam mesyuarat ahli lembaga dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan," katanya kepada pemberita di majlis jamuan Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini hari ini. Hadir sama Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf. Beliau berkata, pihaknya juga akan menunggu keputusan kerajaan berhubung gaji minimum yang akan ditetapkan kepada peminjam sebelum potongan gaji dilakukan. Ismail berkata, usaha itu juga diambil bagi kepentingan semua pihak terutamanya supaya ia tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian ekoran sikap peminjam terdahulu yang liat membayar balik pinjaman. Beliau berkata, cara pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, di kaunter bank dan secara online dilihat tidak berkesan di mana 46,000 daripada 1.6 juta peminjam langsung tidak pernah membayar balik pinjaman. Ismail yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuala Krau berkata sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN sudah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan untuknya iaitu RM35 bilion. "Sepatutnya bulan Julai lalu kita sepatutnya berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada jumlah RM23 bilion itu, namun kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam," katanya. Beliau berkata, daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman setakat ini. Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam seterusnya mengenal pasti mereka yang masih gagal membayar semula pinjaman untuk memudahkan urusan bayaran balik pinjaman menerusi potongan gaji yang akan dilaksanakan tahun depan. -Bernama
No comments:
Post a Comment