Tuesday, October 12, 2010

3,000 jemaah Malaysia selamat tiba di Mekah


PETALING JAYA 11 Okt. - Hampir 3,000 daripada 26,000 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci Mekah sehingga hari ini manakala penerbangan ke-98 dan terakhir dijadual pada 9 November ini.
Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Salleh Abd. Mubin berkata, penerbangan KT9 malam ini membawa 350 jemaah haji dengan sebahagian besar bertolak dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini.
Menurutnya, lapan bas membawa kira-kira 250 jemaah haji tersebut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan selainnya dari Alor Setar, Kedah yang telah menunggu untuk penerbangan yang sama dijadual 7.30 malam ini.
"Penerbangan KT9 dijangka tiba di Jeddah pada 11.50 malam waktu Arab Saudi atau 5 pagi waktu tempatan," katanya.
Beliau ditemui selepas menyertai Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah mengucap selamat jalan kepada 250 jemaah haji di Kompleks Haji Kelana Jaya di sini petang ini.
Mohd. Salleh menambah, tahun ini jemaah haji sama ada dari kumpulan muhasasah atau pakej akan tinggal di hotel-hotel pada jarak di bawah 1,000 meter dari masjid sama ada di Mekah atau Madinah.
Di Madinah, katanya, jemaah haji Malaysia akan ditempatkan di kawasan di tengah-tengah bandar supaya mereka tidak perlu keluar jauh dari tempat tinggal untuk beribadat atau membeli-belah.
Sementara itu, beliau juga menasihatkan jemaah haji supaya sentiasa menjaga nama baik negara dengan sentiasa berdisiplin tanpa berasak-asak dan menyinggung jemaah lain ketika mengucup hajarul aswad dan mengerjakan ibadah lain.
Ujar beliau, jemaah perlu mendahulukan golongan uzur dan tua kerana kesemuanya adalah saudara Islam.
Beliau menambah, disiplin dan tata tertib jemaah haji Malaysia ketika berada di tanah suci mendapat perhatian bukan sahaja daripada kerajaan Arab Saudi malah negara Islam lain.

No comments:

Post a Comment