Tuesday, October 12, 2010

Mesti berat sebelah punya

Buku peristiwa penting singkap senario politik Perak dihasilkan

IPOH 11 Okt. - Peristiwa-peristiwa penting yang menyingkap senario politik negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 termasuk kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang dan pemerintahan semula Barisan Nasional (BN) boleh diselusuri melalui pembacaan buku bergambar tidak lama lagi.
Buku setebal 160 muka surat yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan diterbitkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) itu diolah menggunakan pendekatan kewartawanan kreatif oleh penulis sastera, Malim Ghozali PK atau nama sebenarnya, Mohamed Ghozali Abdul Rashid.
Ketua Eksekutif IDR, Aminudin Hashim berkata, buku dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris itu kini berada di peringkat suntingan terakhir dan akan memasuki pasaran bulan depan.
"Buku ini antara lain memaparkan harapan Datuk Seri Dr. Zambry terhadap kejayaan serta pembangunan negeri ini yang diolah dalam genre sastera.
"Setiap perjalanan serta cabaran politik di Perak akan diterjemahkan dalam bentuk cerita bergambar bagi memberi kesan lebih mendalam kepada pembaca," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran IDR bersama media malam kelmarin.
Pada majlis tersebut, jurufoto Utusan Malaysia, Roy Azis Abd. Aziz memenangi tempat kedua pertandingan gambar terbaik untuk 'Ekspedisi Hutan Belum' yang dianjurkan IDR bersama kerajaan negeri pada Mei lalu. Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM500.
Pertandingan yang julung-julung kali diadakan IDR itu sebagai menghargai usaha dan sumbangan media dalam menyiarkan maklumat serta gambar terbaik kepada pembaca khususnya di Perak.
Dalam pada itu, Malim Ghozali, 61, yang juga felo penyelidik kanan IDR berkata, cabaran utamanya adalah mengumpulkan kesemua visi Menteri Besar di dalam sebuah buku yang mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan.
Lulusan antropologi Universiti Malaya serta pernah menghasilkan 15 naskhah buku pelbagai genre sebelum ini berkata, buku tersebut turut memuatkan peranan IDR dalam merealisasikan Perak Amanjaya iaitu sebuah inisiatif penggerak sosioekonomi bagi mencapai keamanan dan kejayaan yang menjanjikan 'peluang berkualiti', 'pendapatan berkualiti' dan 'kehidupan berkualiti'.

No comments:

Post a Comment