Tuesday, October 12, 2010

Eksport sawit cecah RM65.2 bilion




2010/10/12

Mampu jana transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi 

PENDAPATAN eksport minyak sawit negara tahun ini dijangkakan mencecah RM65.2 bilion berbanding RM49.5 bilion tahun lalu.Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, berkata jangkaan itu berdasarkan pengeluaran minyak sawit sehingga bulan lalu meningkat 0.9 peratus kepada 9.5 juta tan dan eksport minyak sawit yang mencatatkan peningkatan 4.3 peratus kepada 13.38 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu.Beliau berkata, kemajuan industri minyak sawit yang memberangsangkan itu meletakkan sektor sawit di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang mampu menjana transformasi ekonomi ke arah negara berpendapatan tinggi. 

“Kepesatan kemajuan industri sawit sudah menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan ekonomi negara melalui peningkatan pengeluaran dan eksport serta disokong harga pasaran yang kompetitif,” katanya ketika merasmikan Seminar Mini Pemindahan Teknologi anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kota Kinabalu, semalam. 

Dompok berkata, kemajuan industri sawit turut disumbangkan pencapaian dalam bidang penyelidikan dan pembangunan dengan penghasilan teknologi baru. 

Katanya, pemindahan teknologi dibangunkan MPOB untuk kegunaan industri meliputi pengeluaran bahan tanaman sawit berkualiti, amalan agronomi dan pengurusan tanaman sawit, kejenteraan ladang, integrasi tanaman dan ternakan, teknologi pengilangan dan pemprosesan, penggunaan biojisim sawit, teknologi rawatan sisa buangan kilang dan penghasilan tenaga boleh diperbaharui. 
“Dalam hal ini, pembabitan dan komitmen semua pihak dalam industri sawit termasuk pekebun kecil dalam mengguna pakai teknologi dan inovasi baru bagi penanaman dan pengurusan tanaman sawit akan meningkatkan lagi produktiviti hasil sawit,” katanya. 

Dompok berkata, kerajaan sudah menyediakan peruntukan RM50 juta yang disalurkan melalui MPOB bagi menggalakkan penyertaan pekebun kecil dalam pengeluaran minyak sawit mapan. 

Katanya, pekebun kecil disarankan menyertai koperasi didaftarkan dengan MPOB bagi membolehkan penyaluran bantuan kewangan dan khidmat nasihat penanaman sawit yang sempurna. 

Beliau juga berkata, kerajaan melalui MPOB menyediakan Skim Diskaun Cantas (Skidic) kepada pekebun kecil dengan nilai RM1,000 bagi setiap pembelian unit alat pemotong berjentera atau Cantas bagi menggalakkan pekebun kecil menggunakan alat penuai buah sawit yang dibangunkan MPOB. 

“Kajian MPOB menunjukkan penggunaan Cantas boleh meningkatkan produktiviti penuaian antara 100 hingga 150 peratus berbanding penggunaan sabit manual,” katanya, sambil menambah penggunaan jentera di sektor perladangan dapat meningkatkan produktiviti pekerja dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing di ladang sawit. – BERNAMA 

No comments:

Post a Comment