YANGON 11 Okt. - Sebuah parti politik yang dibentuk oleh bekas rakan-rakan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi, Kuasa Demokratik Kebangsaan (NDF) berkata, pilihan raya yang bakal berlangsung 7 November ini akan menjadi 'langkah pertama' ke arah demokrasi di Myanmar yang diperintah oleh junta tentera.
"Kini negara kami berada dalam satu tempoh peralihan kepada demokrasi.
"Kami menganggap pilihan raya akan datang merupakan langkah pertama pendemokrasian yang dihasratkan oleh rakyat," kata pengerusi NDF, Than Nyein dalam satu ucapan dasar yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris, New Light of Myanmar.
Keputusan NDF untuk bertanding dalam pilihan raya 7 November ini meletakkan parti tersebut dalam keadaan janggal dengan bekas ahli-ahli Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) yang lain termasuk pemimpinnya, Suu Kyi memilih untuk memboikot pilihan raya itu kerana peraturan pilihan raya yang "tidak adil".
Pilihan raya yang pertama dalam tempoh 20 tahun itu telah dikritik oleh para aktivis dan juga banyak kerajaan Barat sebagai satu penipuan yang bertujuan menyokong pemerintahan tentera selama hampir setengah kurun.
NLD, yang diasaskan pada 1988 selepas satu pemberontakan menentang junta yang mengorbankan beribu-ribu nyawa, menang besar dalam pilihan raya pada 1990, namun pemerintah junta tidak membenarkan parti itu memerintah.
Suu Kyi telah menghabiskan masa di dalam tahanan rumah sejak 20 tahun lalu dan tidak dibenarkan mengundi pada pilihan raya akan datang yang berlangsung kira-kira seminggu sebelum tempoh hukuman penahanan rumah yang dijalaninya dijangka berakhir.
"Kami akan cuba yang terbaik untuk hak asasi manusia, demokrasi, mengatasi krisis ekonomi, penderitaan sosial yang dihadapi oleh rakyat, memasuki pasaran ekonomi, sekolah pendidikan menengah percuma dan penjagaan kesihatan lebih baik," kata NDF. - AFP
No comments:
Post a Comment