Tuesday, October 12, 2010

Ibu muda berjantung besi meninggal dunia


KUALA LUMPUR 11 Okt. - Setelah 26 bulan bertahan menantikan penderma jantung yang sesuai, Winnie Chen, ibu muda berusia 25 tahun yang bergantung hidup menggunakan jantung besi disahkan meninggal dunia, hari ini.
Ibu tunggal kepada seorang anak kecil itu dilaporkan mengalami strok pada 7 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, strok itu telah menyebabkan kerosakan teruk kepada otaknya dan Winnie kemudian disahkan telah mati otak dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Kenyataan akhbar daripada IJN hari ini memaklumkan, Winnie memilih untuk mendermakan organnya sebagai wasiat akhir dan hasrat itu turut dihormati keluarganya yang tidak membantah.
"Berikutan hasrat Winnie untuk menderma organ bagi menyelamatkan nyawa pesakit lain, keluarganya telah bersetuju dan membenarkan paru-paru, mata, hati dan buah pinggang Winnie diambil untuk didermakan.
"Satu pasukan dari Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Hospital Kuala Lumpur yang diketuai Datin Dr. Lela Yasmin telah menjalankan ujian pengesahan kematian otak ke atasnya hari ini.
"Berikutan pengesahan kematian otak, pasukan yang sama juga mula menjalankan pembedahan untuk memindahkan organ-organ yang ingin didermakan Winnie bermula pukul 7 malam ini," jelas kenyataan tersebut di sini hari ini.
Winnie merupakan pesakit jantung ketiga yang menerima bantuan alat bantuan denyut jantung (PVAD) selepas Mohd. Fikri Nor Azmi dan Tee Hui Yi serta merupakan pengguna PVAD pertama yang meninggal dunia kerana gagal mencari penderma jantung yang sesuai.
Mohd. Fikri, kini 18, berjaya menemui penderma jantung yang sesuai pada 2005 sementara Hui Yi, kini 17, mencipta rekod menerima jantung daripada dua penderma pada 2007.
Seorang lagi pesakit jantung yang bergantung hidup kepada mesin PVAD, Tan Geek Koon, 41, merupakan pesakit keempat menggunakan jantung besi itu tetapi berjaya mendapat jantung yang sesuai pada penghujung tahun lalu.
IJN dalam kenyataan sama, turut mengucapkan takziah serta melahirkan rasa hormat dan terima kasih kepada Winnie dan keluarganya yang memilih untuk menyelamatkan nyawa ramai pesakit lain melalui tindakan murni menderma organ.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ atau tisu badan boleh menghubungi Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC), Hospital Kuala Lumpur melalui e-mel ntrc@hkl.gov.my atau talian 03-26156576, 03-26942705, 03-26942705 dan 1-800-88-9080.

No comments:

Post a Comment