KUALA LUMPUR 11 Okt. - Kecewa dengan sikap dua ahli Parlimen Pas yang sering membuat 'kacau', Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memberi amaran untuk tidak lagi membenarkan mereka bertanyakan soalan tambahan sepanjang sesi sidang yang akan berakhir 15 Disember ini.
Beliau berkata, perbuatan Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) dan Datuk Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) yang sering bangun dan bercakap pada sesi soal jawab tanpa mendapat kebenarannya terlebih dahulu telah menjadikan sidang berkenaan kecoh.
"Ahli-Ahli Yang Berhormat, kalau ada lagi yang membuat kacau dan bercakap seperti yang dibuat oleh Shah Alam, saya tak akan benarkan lagi kemuka soalan tambahan, begitu juga dengan Pokok Sena," katanya.
Khalid sebelum itu bangun mencelah bagi mempertikaikan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa pihak polis telah menyelesaikan 21,344 kes daripada 35,473 kes orang hilang yang dilaporkan dari tempoh 2000 hingga Ogos 2010.
Menurut Khalid, ia adalah pencapaian yang memalukan bagi pihak polis kerana kira-kira 60 peratus kes sahaja yang berjaya diselesaikan.
Hishammuddin yang menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) juga beberapa kali diganggu oleh Mahfuz yang mencelah secara tiba-tiba sambil menyifatkan jawapannya tidak memuaskan.
Dalam perkembangan berkaitan, Pandikar Amin berkata, ahli-ahli Parlimen pembangkang terbabit tidak harus mempertikaikan cara Hishammuddin menjawab kerana setiap orang ada gaya tersendiri.
"Sudahlah, itu cara menteri menjawab dan Shah Alam pun ada cara tersendiri bertanya soalan. Masing-masing dengan cara mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment