Tuesday, October 12, 2010

BN mahu menang majoriti besar di Galas – Ku Li


Najib Tun Razak menyerahkan surat pelantikan sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Galas kepada Tengku Razaleigh Hamzah sambil diperhatikan Mustapa Mohamed di Parlimen, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 11 Okt. – Barisan Nasional (BN) mahu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 4 November ini dengan menyasarkan untuk memperoleh majoriti besar ke atas lawan.
Pengarah Pilihan Raya Kecil BN DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, pihaknya kini perlu turun padang untuk membuat tinjauan ke kawasan tersebut bagi menentukan tahap sokongan pengundi kepada BN.
“Kami harap dapat majoriti besar, kami perlu turun ke bawah untuk tinjau.
“Dalam setiap pertandingan ada yang kalah ada yang menang, kami harap kami akan menang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan persedian BN menghadapi pilihan raya berkenaan di Bangunan Parlimen hari ini.
Antara yang hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang enggan mengulas mengenai ura-ura mengatakan beliau telah menawarkan diri sebagai calon BN pada pilihan raya tersebut, sebaliknya mendakwa tiada sebarang keputusan dan perbincangan tentang perkara berkenaan.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata, calon yang bakal mewakili BN pada pilihan raya itu nanti akan diumumkan selepas Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir 23 Oktober ini.
“Pengumuman akan dibuat oleh Perdana Menteri pada masa yang sesuai selepas Perhimpunan Agung UMNO,” katanya.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 September akibat barah usus.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 November sebagai tarikh pilihan raya kecil, manakala penamaan calon pula pada 26 Oktober.

No comments:

Post a Comment