SEREMBAN 11 Okt. – Kementerian Pengangkutan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dalam usaha memperhalusi undang- undang lalu lintas ke arah menjamin keselamatan pengguna jalan raya di negara ini.
Menterinya, Datuk Kong Cho Ha berkata, langkah itu selari dengan hasrat kerajaan dalam memperketatkan peraturan jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.
“Kementerian kini sedang membuat pindaan pada Akta Pengangkutan untuk memperketatkan peraturan supaya pengguna jalan raya lebih mematuhi undang-undang yang ditetapkan nanti.
“Pindaan akta ini juga termasuk memberikan kuasa kepada pegawai penguatkuasa JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk mengambil tindakan terhadap pemandu yang mengambil dadah,” katanya.
Cho Ha berkata demikian pada sidang akhbar di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini hari ini sebagai mengulas tragedi kemalangan ngeri yang mengakibatkan 12 orang terbunuh termasuk 40 tercedera di Kilometer 223, Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di Melaka semalam.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh dan Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh.
Mengulas lanjut mengenai tragedi itu, Cho Ha memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.
“Kita akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini dan akan melibatkan pelbagai pihak termasuk JPJ, JKJR, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Bagaimanapun, hasil siasatan awal kami mendapati, bas berkenaan merupakan sebuah bas baru digunakan sejak 2007 dan ia didapati turut menjalankan pemeriksaan berkala di Puspakom pada Mei lalu,” jelasnya.
Tambahnya lagi, berdasarkan laporan awal, pihaknya turut mendapati tayar bas ekspres itu berada dalam keadaan baik.
“Namun, kita akan menyiasat secara lanjut keadaan sistem brek dan stereng bas berkenaan,” katanya.
Dalam nahas semalam, 12 orang terbunuh, manakala lebih 40 orang dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas, sebuah van dan tiga kereta yang berlaku pada pukul 6.50 petang.
Kemalangan berlaku ketika bas Ekspres Delima yang dipandu laju, gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya. Ia kemudian melambung ke laluan bertentangan dan melanggar van dan bas sebelum menghempap dua kenderaan.
No comments:
Post a Comment