Friday, October 1, 2010

Bekas Sultan, Raja Perempuan dapat elaun




2010/10/01

KOTA BHARU: Bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra akan menikmati elaun sara bulanan seumur hidup tidak kurang separuh daripada jumlah diterima sepanjang menjadi pemerintah negeri ini.

Ini berikutan keputusan Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang bersidang semalam meluluskan dua pindaan membabitkan Enakmen Elaun-Elaun Kerabat Diraja (Pindaan No 2) 2010 dan Enakmen Peruntukan Diraja Bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perempuan Bagi Negeri Kelantan (Pindaan) 2010.
Kedua-dua pindaan enakmen itu dicadangkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang kemudiannya disokong oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakob.
Tiada perbahasan dibuat berikutan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk enam daripada Barisan Nasional sebulat suara bersetuju terhadap dua pindaan enakmen berkenaan.

Nik Aziz ketika mencadangkan pindaan bagi Enakmen Elaun-Elaun Kerabat Diraja (Pindaan No 2) 2010 berkata, jika seorang Raja digantikan, maka baginda berhak menerima elaun seumur hidup dengan jumlahnya ditetapkan DUN Kelantan.

Selepas seorang Raja digantikan, maka baginda adalah berhak menerima elaun seumur hidup yang mana jumlahnya hendaklah ditetapkan DUN Kelantan.

"Oleh itu, hendaklah tidak kurang separuh daripada jumlah (elaun) sepanjang baginda menjadi Raja," katanya.
Kedua-dua pindaan itu membolehkan Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Anis mendapat elaun selepas pemasyhuran Sultan Muhammad Ke-V, 13 September lalu di Balai Rong Seri, Istana Balai Besar selepas Sultan Ismail Petra gering sejak lebih setahun lalu.

Terdahulu, Dewan juga merafak sembah dan tahniah kepada Sultan Muhammad Ke-V berikutan pemasyhuran baginda sebagai Sultan Kelantan.

Ketua Pembangkang, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad ketika ditemui berkata, ADUN BN bersetuju dengan pindaan itu kerana ia selaras dengan peraturan perlembagaan.

No comments:

Post a Comment