Friday, October 1, 2010

Terlantar sejak lahir



Oleh Azida Shaharuddin

2010/09/30

JOHOR BAHRU: Berikutan kepalanya tersangkut hampir sejam ketika dilahirkan tujuh tahun lalu, Syasya Mohd Nasir, 7, kini tidak ubah seperti bayi baru dilahirkan kerana bukan saja gagal memberikan reaksi terhadap kemahuan, malah meneruskan kehidupan dalam keadaan terlantar. 

Ibu Syasya, Siti Zuraini Masuri, 43, berkata kepala anak sulungnya itu tersangkut hampir satu jam ketika dilahirkan menyebabkan tubuh badannya menjadi kebiruan.
Beliau berkata, walaupun nyawa Syasya dapat diselamatkan, hati beliau sekeluarga remuk apabila doktor mengesahkan anaknya mengalami celebral palsy atau kelemahan saraf tunjang akibat kecederaan otak ketika bersalin.
Siti Zuraini berkata, pada awalnya mereka sekeluarga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap kecuaian pihak hospital sehingga mengakibatkan kecacatan pada anaknya, namun mereka kemudian reda terhadap dugaan itu. 

Katanya, hanya pertumbuhan anggota badan Syasya seperti kanak-kanak normal iaitu mengikut peningkatan usia, tetapi hingga kini kanak-kanak itu masih terpaksa makan dengan bergantung kepada saluran tiub yang dimasukkan menerusi lubang hidungnya. 

“Setiap hari, saya akan mengisar nasi dengan sayur-sayuran sebelum menggunakan picagari dan tiub untuk menyalurkan makanan itu menerusi hidungnya disebabkan Syasya berisiko mendapat jangkitan paru-paru jika makanan disuapkan terus ke mulutnya. 

“Kami juga disarankan supaya menyediakan kerusi roda khas bagi pesakit celebral palsy, namun dengan pendapatan sederhana suami yang bekerja sebagai pemandu bas kilang, kami tidak mampu untuk menyediakannya untuk Syasya sehingga ini,” katanya yang menetap di Taman Damai Jaya. 
Katanya, menggunakan pendapatan suaminya dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, keluarganya hanya mampu menampung perbelanjaan dapur dan membeli beberapa barangan keperluan untuk anaknya. 

Beliau berkata, antara barangan yang perlu dibeli untuk anaknya termasuk tiub makanan, picagari, lampin pakai buang dan susu khas sebagai pengganti zat makanan. 

“Sebelum ini, kami menggunakan kereta sorong bayi untuk menggerakkan Syasya dan membawanya keluar. 

“Kereta sorong itu tidak sesuai lagi memandangkan dia semakin tinggi, demikian suami perlu mendukungnya bagi tujuan sama hingga kadangkala terpaksa mengalami kesulitan,” katanya. 

Siti Zuraini berkata, harga kerusi roda khas untuk anaknya dikatakan mencecah RM2,000 dan keluarganya gagal mendapatkan bantuan daripada mana-mana pihak bagi mendapatkan kemudahan itu. 

“Sebagai ibu bapa, kami sentiasa berdoa supaya kehidupan Syasya bertambah baik selepas ini,” katanya. 

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada Syasya diminta menghubungi talian 012-7284469.

No comments:

Post a Comment