Friday, October 1, 2010

UMNO mahu uji kesetiaan Tengku Razaleigh




SHAH ALAM - Pas menyifatkan UMNO memberi kata dua dan mahu menguji kesetiaan Tengku Razaleigh Hamzah terhadap parti itu apabila Ahli Parlimen Gua Musang itu menyokong tuntutan royalti minyak Kerajaan Kelantan.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Idris Ahmad berkata, pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas juga sebagai tindakan terdesak UMNO.

“Ternyata UMNO begitu bergantung harap kepada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula DUN berkenaan walaupun tahu beliau tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi UMNO dan pelantikannya adalah risiko terbesar yang perlu parti itu tangani sepanjang kempen.

“DUN Galas di kawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh di mana UMNO menumpang pengaruh beliau bakal menjadi medan ujian buat UMNO dan Tengku Razaleigh sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada :Sinar Harian.:

Idris berkata, pelantikan itu membuktikan UMNO sebenarnya hilang keyakinan di DUN Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada Tengku Razaleigh bagi membuktikan kesetiaannya kepada parti itu.

“Ia umpama kata dua kepada beliau, sama ada berjuang untuk rakyat atau untuk kepentingan UMNO.

“Pas yakin bahawa Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan dia tahu jika UMNO menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan,” katanya.

Beliau berkata, Pas berharap Tengku Razaleigh menggunakan peluang tersebut untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

“Jika dalam pilihan raya kecil nanti isu royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan? Sanggupkah beliau menyanggah hujah UMNO demi kepentingan rakyat nanti.

“Pas menyeru Tengku Razaleigh mengisytihar diri keluar UMNO dan menyertai Pas jika benar beliau berjuang untuk rakyat Kelantan,” katanya.

No comments:

Post a Comment