Friday, October 1, 2010

Tapak bekas masjid di India dibahagi


BERJAGA-JAGA: Askar Pasukan Gerak Cepat India berkawal di bandar Ayodhya menjelang keputusan mahkamah sama ada tapak bekas Masjid Babri di bandar itu akan diserahkan kepada penganut Hindu atau umat Islam. -- Foto AP




Mahkamah beri satu pertiga tanah Masjid Babri kepada Muslim dan baki kepada dua kumpulan Hindu


LUCKNOW: Sebuah mahkamah India semalam memutuskan bahawa tapak bekas Masjid Babri di bandar Ayodhya yang dirobohkan pelampau Hindu pada 1992 dibahagi antara penganut Hindu dan umat Islam.
Mahkamah Tinggi Allahabad memutuskan kawasan seluas 25 hektar itu harus dibahagi, dengan umat Islam menguasai satu pertiga dan dua kumpulan Hindu menguasi baki dua pertiga.Bagaimanapun, mahkamah memberi masyarakat Hindu kuasa ke atas kawasan yang dulu merupakan tapak Masjid Babri.Mahkamah berkata bukti arkeologi menunjukkan sebuah kuil sudah dibina di situ sebelum Masjid Babri didirikan.'Dalam satu keputusan majoriti, dua hakim berkata tapak tersebut akan dibahagi kepada tiga bahagian,' kata Encik Ravi Shankar Prasad, peguam bagi kumpulan Hindu yang mengemukakan saman.'Mahkamah memutuskan bahawa lokasi kuil sementara adalah tempat kelahiran dewa Rama dan tempat itu tidak boleh dipindah,' kata Encik Shankar.Proses pembahagian tapak itu akan bermula dalam masa tiga bulan, kata beliau.Satu pertiga akan dikuasai umat Islam. Bahagian kedua akan dijadikan kuil bagi penganut Hindu yang mendakwa ia tempat kelahiran dewa Rama, manakala yang ketiga akan dikuasai sebuah pertubuhan agama Hindu di Ayodhya.Keputusan itu disambut baik oleh para penganut Hindu.'Saya gembira kerana mahkamah menerima fakta sejarah dan ini satu kegembiraan bagi penganut Hindu,' kata Encik Nritya Gopaldas Maharaj, presiden badan amanah Ram Janam Bhoomi, kepada pemberita di Ayodhya.Namun, keputusan mahkamah itu mengecewakan kumpulan Islam yang menuntut tapak tersebut.Encik Zaffaryab Jilani, seorang peguam bagi masyarakat Islam, berkata beliau akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.'Kami berasa kecewa kerana sesetengah hujah umat Islam telah disangkal,' kata beliau.Salah seorang plaintif Hindu, Encik H.S. Jain, berkata beliau juga akan mengemukakan rayuan.'Tanah itu 100 peratus kepunyaan penganut Hindu. Kenapa mesti dibahagi-bahagi?' kata beliau.Perbuatan pelampau Hindu merobohkan Masjid Babri, yang dibina pada 1528 oleh maharaja Mughal, Babur, mencetus rusuhan yang mengorbankan 2,000 orang.Pihak berkuasa India semalam mengerah lebih 200,000 anggota polis ke seluruh negara bagi mencegah berlakunya kekacauan.Pemerintah meminta rakyat supaya bertenang menjelang keputusan mahkamah.Polis telah menahan lebih 10,000 orang bagi mencegah mereka menghasut keganasan. Sekitar 100,000 orang lagi disuruh menandatangani afidavit mengatakan mereka tidak akan mencetus kekacauan ekoran keputusan mahkamah. -- Agensi.

No comments:

Post a Comment