Friday, October 1, 2010
Pas anggap Muhyiddin lari dari tanggungjawab
KUALA LUMPUR – Pelantikan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO/Barisan Nasional tidak memberi masalah kepada Pas dalam merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan.
Naib Presiden, Salahuddin Ayub berkata, beliau tidak berminat menyentuh pelantikan Tengku Razaleigh, namun mempersoalkan kenapa jawatan itu tidak lagi disandang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi Pengarah Pilihan Raya BN seperti kebiasaannya.
"Timbalan Perdana Menteri, bila pilihan raya kecil (PRK) akan jadi pengarah, mengapa kali ini nak lari? Kenapa UMNO lari daripada norma biasa bagi PRK Galas ini?,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas, semalam.
Salahuddin berkata, hubungan Pas dengan Tengku Razaleigh tetap baik walaupun beliau ditugaskan oleh BN untuk merampas semula kerusi kawasan itu, yang suatu ketika dulu menjadi kubu kuat UMNO.
Mengulas potensi Pas mengekalkan kerusi DUN Galas, Salahuddin berkata, Pas tidak bersikap terlalu yakin memandangkan cabaran yang bakal dihadapi mereka kelak cukup besar.
“Pas anggap ini satu cabaran besar, jentera parti perlu bersiap sedia, jangan terlalu yakin, jangan rasa selesa yang penting Pas akan meningkatkan keupayaan dan komitmen,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment