Tuesday, November 23, 2010

57,518 kes mahkamah masih tertunggak - Nazri



KUALA LUMPUR 22 Nov. - Sebanyak 57,518 kes tertunggak yang didaftarkan sejak sebelum 2007 sehingga Disember lalu direkodkan di mahkamah seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ia melibatkan 14,950 kes di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen (16,134), Mahkamah Majistret (15,084), Mahkamah Rayuan (10,895) dan 455 kes di Mahkamah Persekutuan.
Justeru jelas beliau, kementerian kini mengambil sembilan langkah penting dalam usaha mencapai matlamat untuk melupuskan kes-kes tertunggak berkenaan.
Antaranya, kata beliau, mengadakan operasi pengiraan fail kes untuk mengetahui jumlah kes tertunggak di setiap mahkamah bagi mewujudkan satu perancangan yang sistematik.
"Kerajaan juga memperkenalkan sistem pengkhususan hakim-hakim yang mendengar kes secara pengkhususan bagi memberikan hasil yang lebih baik dan cepat.
"Contohnya di sesetengah tempat terdapat hakim yang mendengar kes sivil dan jenayah secara campuran dan dengan adanya pengkhususan, hakim akan dilantik untuk mendengar kes sivil atau jenayah sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan John Fernandez (DAP-Seremban) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Tujuh langkah lagi adalah:
* Pengenalan sistem trek iaitu hakim trek A mendengar kes melibatkan keterangan melalui afidavit, hakim trek B mendengar kes melibatkan keterangan lisan dan hakim trek M mendengar kes pelbagai.
* Pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar bagi memastikan kes-kes yang didengar para hakim hanyalah kes yang sedia untuk dibicarakan.
* Mewujudkan Mahkamah Perdagangan Baru (NCC) dan Mahkamah Sivil Baru (NCVC).
* Mewujudkan mahkamah khas seperti Mahkamah Khas Harta Intelek, Mahkamah Khas Muamalat dan Mahkamah Admiralti.
* Menetapkan kes-kes untuk mediasi iaitu alternatif penyelesaian kes tanpa melalui perbicaraan penuh di mahkamah.
* Penambahan bilangan hakim di seluruh negara bergantung kepada keperluan kes-kes tertunggak dan purata pendaftaran kes bulanan di sesuatu tempat.
* Pengwujudan sistem e-Kehakiman bagi memudahkan sistem pengurusan dan pendengaran kes di mahkamah.
"Dengan langkah sedia ada serta langkah lain yang akan diperkenalkan dari semasa ke semasa, mahkamah tidak lagi akan dibelenggu dengan isu lambakan kes pada masa akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment