Oleh Rahmat Othman
2010/11/22
SEBAHAGIAN wanita pekerja seks di pekan Danok memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Malaysia untuk mencari kesenangan.
DANOK, THAILAND: Segelintir lelaki Malaysia yang kemaruk beristeri lebih, dikesan menjadikan pekerja seks dan tukang urut Thailand sebagai sasaran untuk dijadikan isteri mereka sejak dua tahun lalu.
Difahamkan, kebanyakan lelaki terbabit berkunjung ke sini untuk berfoya-foya di pusat hiburan yang banyak di sini dan berlagak sebagai orang kaya sebelum mengajak pekerja tempat berkenaan berkahwin.
Imam Masjid Fathuislami yang juga Jurunikah Bertauliah selatan Thailand, di sini, Sufian Ismail, berkata kebanyakan wanita terbabit berkahwin semata-mata kerana mahukan kemewahan dan tidak pernah memeluk Islam sepenuh hati.Bagaimanapun, katanya, apabila menyedari suami mereka itu bukanlah orang kaya dan tidak mampu menampung kos sara hidup mereka, ramai dikalangan wanita terbabit kembali kepada pekerjaan dan agama asal selepas bercerai.
Apabila bercerai, wanita itu kembali kepada agama asal mereka atau murtad serta bekerja semula sebagai pekerja seks. Bekas suami itu juga hanya membiarkan bekas isteri mereka itu murtad, katanya ketika ditemui, di sini.
Beliau berkata, sepanjang dua tahun lalu 10 wanita Thailand bercerai dan kembali agama asal mereka selepas kecewa dengan perkahwinan mereka membabitkan lelaki Malaysia.
Sufian berkata, lebih menyedihkan apabila hasil daripada perkahwinan jangka pendek itu ada yang mempunyai anak dan anak itu juga mengikut agama ibu mereka.
Mereka mengumpan dengan kemewahan yang ditunjukkan dan ia berjaya memikat wanita berkenaan. Selepas perkenalan singkat mereka berkahwin dan wanita itu memeluk Islam, katanya.
Beliau berkata, pasangan itu akan menyewa rumah di sini dan si suami hanya akan datang menemui isterinya pada hujung minggu atau masa tertentu.
Tidak lama selepas itu wanita berkenaan menyedari suaminya bukanlah orang kaya seperti yang disangkakan, malah tidak dapat menampung kos sara hidupnya yang sebelum itu mewah, menyebabkan mereka sering bergaduh dan berakhir dengan perceraian, katanya.
Sufian berkata, dia berasa amat sedih kerana dalam keadaan ini agama Islam dipermainkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Kita juga bimbang kerana anak yang dilahirkan oleh pasangan itu mengikut agama ibunya, sedangkan bapanya Islam, katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Mohd Suhaimi Salleh, ketika dihubungi, berkata beliau kesal kerana ada pihak yang mensia-siakan saudara baru menyebabkannya kembali ke agama asal.
Perbuatan menceraikan isteri saudara baru menjejaskan imej Islam dan ini jelas menunjukkan mereka berkahwin untuk suka-suka saja, katanya.
No comments:
Post a Comment