Tuesday, November 23, 2010

Waspada pegawai kebajikan



Oleh Shaarani Ismail 

2010/11/22

Individu minta wang dakwa mahu bantu program e-Kasih

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan individu yang menyamar Pegawai Kebajikan Masyarakat dan mendakwa mahu membantu mendapatkan wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi program e-Kasih. 

Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid, sehubungan itu, menasihatkan orang ramai yang dikunjungi individu yang mendakwa sebagai Pegawai Kebajikan Masyarakat supaya memeriksa kesahihan kad pengenalan diri individu terbabit sebelum berurusan dengan mereka.
Katanya, pegawai JKM memang ada melakukan siasatan ke rumah membabitkan urusan kebanyakan kes kebajikan, namun mereka akan memakai kad pengenalan diri jabatan sebagai tanda bukti.
Justeru, saya mengingatkan orang ramai khususnya warga emas supaya tidak sewenang-wenangnya membenarkan orang tidak dikenali memasuki rumah hanya dengan mengatakan yang mereka adalah pegawai JKM yang ingin membantu mendapatkan bantuan. 

Warga emas terutama yang tinggal berseorangan tidak sepatutnya mempercayai atau terpedaya dengan janji pihak tidak bertanggungjawab untuk mengelak mereka ditipu, malah bagi memastikan keselamatan mereka terjamin, katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam. 

Beliau mengulas laporan akhbar semalam mengenai insiden membabitkan seorang wanita warga emas berusia 60 tahun di Betong, Sarawak yang kehilangan semua barangan kemas bernilai kira-kira RM20,000 selepas diperdaya pasangan yang mendakwa pegawai JKM yang melakukan proses pendaftaran program e-Kasih. 

Lebih malang, warga emas yang berasal dari sebuah rumah panjang berdekatan, hanya menyedari dia ditipu beberapa hari lalu, selepas mendapati wang yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun bank tidak dilakukan JKM, sebelum laporan mengenainya dibuat.

No comments:

Post a Comment