BANDUNG 22 Nov. – Peguam bela kepada vokalis Peterpan, Nazriel Ilham atau lebih dikenali sebagai Ariel, Afrian Bondjol menyifatkan dakwaan pendakwa raya dalam perbicaraan anak guamnya di Mahkamah Negeri Bandung hari ini sebagai tuduhan yang direka-reka.
Menurutnya, pendakwa raya tidak sepatutnya menuduh Ariel turut membantu dalam menyebarkan video lucah yang dilakonkannya bersama dua selebriti wanita Indonesia, Cut Tari dan Luna Maya.
“Kalau benar video itu dibuat Ariel, apakah dia mahu menyebarkan dan memalukan dirinya sendiri?,” kata Afrian ketika dihubungi selepas perbicaraan ditangguhkan hari ini.
Perbicaraan kes itu diadakan secara tertutup di Ruang Kresna, kamar utama di Mahkamah Negeri Bandung berikutan hakim berpendapat ia perlu melindungi orang awam daripada maklumat seksual yang ‘tidak sesuai’ disebarkan dalam kes ini.
Afrian berkata, tuduhan yang dinyatakan oleh pihak pendakwa raya adalah kabur.
Pasukan peguam bela mempertikaikan dakwaan pendakwa raya dengan membacakan nota pembelaan yang mempersoalkan tuduhan ke atas Ariel.
“Kami bacakan (nota) pembelaan setebal 20 muka surat,” kata ketua pasukan peguam bela, OC Kagilis sebaik perbicaraan hari ini selesai.
Ariel, 29 akan dibicarakan sekali lagi Isnin depan, yang mana pasukan peguam bela akan menilai hujah pendakwa raya terhadap nota pembelaan itu.
Perbicaraan berlangsung selama 82 minit bermula pukul 8.58 pagi (pukul 9.58 pagi waktu Malaysia) dan berakhir pada pukul 10.20 pagi (pukul 11.20 pagi waktu Malaysia) apabila ia ditangguhkan selepas pasukan peguam bela Ariel membacakan hujah pembelaan terhadap dakwaan pendakwa raya.
Sebaik selesai, Ariel terus diiringi ke kenderaan polis untuk dibawa kembali ke tahanan di Rutan Kebonwaru.
Jika didapati bersalah dia bakal berdepan hukuman penjara maksimum 12 tahun dan denda sehingga enam bilion rupiah (RM2.1 juta) kerana menyebarkan bahan lucah di Internet.
Ariel menyerah diri kepada polis pada 22 Jun lalu ketika media hangat mengaitkannya dengan video seks membabitkan dua selebriti iaitu Luna Maya, 27 dan Cut Tari, 33.
Mereka berdua bagaimanapun tidak didakwa.
Klip video yang disebarkan kepada beratus ribu pengguna Internet, mencetus persoalan tentang keadaan sosial dan tidak bermoral di Indonesia. – AGENSI
No comments:
Post a Comment