Tuesday, November 23, 2010

Kerajaan pantau aktiviti rakyat Malaysia di negara asing



KUALA LUMPUR 22 Nov. - Kerajaan telah meningkatkan pemantauan terhadap rakyat Malaysia yang berada di luar negara bagi memastikan mereka tidak melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan imej negara.
Timbalan Menteri Luar, A. Kohilan Pillay berkata, pemantauan secara menyeluruh itu bukan sahaja terhadap pemimpin pembangkang, malah melibatkan warganegara Malaysia yang melancong dan bermastautin di negara asing.
"Langkah ini adalah bagi memastikan kita dapat bertindak segera untuk menangkis dakyah pihak yang berkempen untuk memburuk-burukkan negara dan menyebarkan fitnah serta persepsi salah mengenai negara dan pemimpinnya.
"Kita tidak boleh biarkan perbuatan mereka ini yang melanggar prinsip kesetiaan kepada raja dan negara berterusan," katanya semasa menggulung perbahasan Bajet 2011 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Kohilan Pillay, usaha memberi penjelasan dan menangkis dakyah terbabit dibuat oleh kementerian itu dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan lain yang mempunyai wakil mereka di kedutaan dan suruhanjaya tinggi Malaysia di negara terbabit.
"Ini termasuk wakil jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menjelaskan kepada pelajar dan cerdik pandai di negara terbabit mengenai apa yang sebenarnya berlaku di Malaysia," jelasnya.
Tambah beliau, kementerian itu turut mendapatkan kerjasama wakil Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di luar negara untuk menjelas kepada bakal pelabur bahawa situasi di Malaysia tidak seteruk seperti didakwa.
"Kakitangan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (MTPB) di negara asing turut membantu kita untuk menjelaskan kepada bakal pelancong bahawa negara kita adalah aman," katanya.
Dalam perkembangan lain, Kohilan Pillay berkata, pertemuan antara Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Dr. Marty Natalegawa di Sabah pada September lalu telah mencapai kata sepakat bagi mengelak berlaku kekecohan ketika operasi rondaan maritim kedua-dua negara.
"Antaranya, anggota penguat kuasa kedua-dua negara yang ditahan akan terus dibenarkan memakai pakaian seragam dan tidak akan digari," ujarnya.
Dalam insiden 13 Ogos lalu, bahagian penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia telah menahan tujuh nelayan Malaysia kerana didakwa berada di perairan republik itu.
Selepas itu, sepasukan anggota Polis Marin Malaysia yang tiba ke tempat kejadian telah mengejar dan menahan tiga pegawai penguat kuasa kementerian Indonesia berkenaan kerana didakwa menceroboh perairan negara ini.
Ekoran kejadian itu, kumpulan yang dikenali sebagai Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) bertindak mengadakan demonstrasi dan menimbulkan provokasi dengan membaling najis manusia dan membakar Jalur Gemilang di Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia pada 23 Ogos lalu kerana mendakwa anggota penguat kuasa mereka telah digari dan dibogelkan semasa dalam tahanan.

No comments:

Post a Comment