Tuesday, November 23, 2010

Mahu pembinaan jambatan diterus



Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan Tunku Ismail Ibrahim ketika hadir pada sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-52 di Istana Besar, Johor Bahru semalam. – BERNAMA


JOHOR BAHRU 22 Nov. – Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.
Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 hari ini, Sultan Ibrahim bertitah pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang-alik ke Singapura malah menjadi kemudahan untuk rakyat negara jiran itu melancong ke negara ini.
“Saya merakamkan penghargaan kepada kerajaan kerana sentiasa prihatin dan berusaha menangani masalah rakyat. Namun begitu, masih ada hasrat rakyat Johor yang masih belum dapat dipenuhi iaitu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor,” titah baginda di Istana Besar di sini.
Baginda bertitah ketiadaan Tambak Johor akan membolehkan air di Selat Tebrau bebas mengalir sekaligus memberi kesan yang baik terhadap alam sekitar di sekelilingnya.
Berangkat ke istiadat berkenaan ialah permaisuri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Yang Dipertua Jumaah Diraja Johor Tunku Osman Tunku Temenggong Ahmad dan kerabat-kerabat di raja lain.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Prof Datin Jamilah Ariffin, barisan exco kerajaan negeri, anggota Dewan Undangan Negeri serta pegawai kanan kerajaan.
Sultan Ibrahim turut meminta rakyat di Johor supaya hidup secara bertolak ansur, bersederhana dan hormat-menghormati tanpa mengira kaum selaras dengan motto kerajaan Johor “Muafakat Itu Berkat” bagi mengekalkan kesejahteraan negeri.
Baginda mahu semua pemimpin masyarakat sentiasa berusaha menyatupadukan masyarakat yang dipimpin serta mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan individu mahupun politik.
“Di Johor, tidak kira apa jua kaum, Melayu, India, Cina, mereka semua adalah rakyat negeri saya. Hak dan kepentingan semua akan dijaga. Oleh itu, jangan diungkit apa yang telah berlaku supaya terhindar rasa tidak puas hati dan buruk sangka,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut mengingatkan seluruh rakyat Johor supaya merebut peluang daripada pembangunan pesat negeri termasuk pelbagai peluang pekerjaan yang ditawarkan di kawasan pembangunan Iskandar Malaysia.
Dalam titah berkenaan, baginda turut mengisytiharkan penubuhan Yayasan Sultan Ibrahim yang bertujuan memberikan bantuan pendidikan, kebajikan, biasiswa kepada pelajar miskin, perubatan serta bantuan kepada warga emas dan orang kurang upaya.
Menurut Sultan Ibrahim, dana untuk yayasan berkenaan disumbangkan daripada semua elaun diraja yang diterima baginda.
Sultan Ibrahim pada istiadat berkenan turut berkenan mengurniakan gelaran ‘Duli Yang Maha Mulia’ kepada Raja Zarith Sofiah dan gelaran ‘Yang Amat Mulia Enche Besar’ kepada bonda baginda, Hajah Khalsom Abdullah.
Baginda turut mengurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK I) yang merupakan darjah tertinggi bagi Johor kepada Hajah Khalsom dan Pangkat Pertama Datuk Seri Setia Sultan Ismail Johor (SSIJ) kepada Tunku Ismail. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment