Thursday, December 2, 2010

Anwar pertahan tolak ketuanan Melayu



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendiriannya untuk menolak konsep ketuanan Melayu.
Katanya, ini kerana konsep yang menjadi polemik tersebut merujuk kepada amalan 'tuan dan hamba' dalam masyarakat.
"Tuan hanya boleh digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Kita lihat 'tuan' adalah untuk kaum yang memiliki kuasa.
"Kalau Melayu itu 'tuan', bagaimana dengan kaum Cina, Kadazan dan kaum yang lain?" Katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ketujuh di Petaling Jaya Ahad lalu berikrar untuk tidak meneruskan konsep ketuanan Melayu.
Anwar dalam ucapan penggulungan di hari terakhir kongres PKR itu memperlekehkan konsep ketuanan Melayu serta usaha-usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar di kalangan masyarakat Melayu dan bumiputera.
Anwar berkata, dalam setiap ucapan pakatan pembangkang, prinsip Perlembagaan, isu agama Islam dan orang Melayu tidak dibangkitkan tetapi ia dipertahankan.
"Pengalaman saya bersama Pas dan DAP, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi, raja-raja Melayu kita terima. Ini diputarbelitkan oleh UMNO dan Utusan Malaysia. Saya harap jangan menipu seolah-olah kita golongan yang menolak Melayu," katanya.
Mengulas laporan bahawa beliau akan melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang memerintah, Anwar berkata, mengapa perlu mempersoalkan hak orang bukan Melayu sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Mengapa hendak nafikan hak orang Melayu, Cina, India, Kadazan sebagai Timbalan Perdana Menteri?" soalnya.
Mengulas cabaran Ahli Parlimen Bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli Noordin supaya memulangkan darjah kebesaran serta ganjaran yang diperoleh hasil keistimewaan orang Melayu, Anwar berkata, beliau tidak merayu untuk mendapatkan gelaran itu.
"Saya bukan tulis surat merayu supaya diberikan gelaran Datuk Seri. Tuanku memberi anugerah ini, saya menjunjung kasih kepada Tuanku. Yang pertama saya dapat daripada Sultan Pahang, selepas itu menyusul yang lain," katanya.
Sementara itu, Ketua Pembangkang itu mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tarikh pilihan raya umum (PRU) lebih awal.
"Saya cabar Najib tunjukkan demokrasi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersihkan senarai pemilih dan biar rakyat yang menentukannya.
"Walaupun Perdana Menteri mengumumkan pemilihan UMNO ditangguhkan sehingga 18 bulan, saya menjangkakan PRU akan diadakan lebih cepat," katanya.
Semalam, selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), Najib mengumumkan pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan MT yang sepatutnya berlangsung tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan.

No comments:

Post a Comment