Thursday, December 2, 2010
Tiga runtuhan
BENTONG – Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Gemeti dekat sini, bimbang berlakunya hakisan sungai lebih teruk sekiranya tiada tindakan segera diambil bagi menanganinya.
Seorang penduduk, P Ponama, 62, berkata setiap kali hujan lebat, dia akan berasa bimbang hingga tidak lena tidur memikirkan apa yang bakal berlaku kepada mereka sekeluarga.
Menurutnya, sebelum ini hakisan berlaku sedikit sahaja tetapi sejak musim hujan lebih kurang dua minggu lalu, keadaan menjadi bertambah teruk hingga menyebabkan pokok kelapa yang ditanam di tebing sungai juga tumbang.
“Pada waktu malam, kami sekeluarga sering berasa bimbang sekiranya hakisan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan kami terputus hubungan.
“Untuk keluar ke jalan besar, kami menggunakan jambatan untuk menyeberang sungai kecil ini dan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini tentu ia menyebabkan kegiatan seharian terjejas,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia ditemui semasa sesi lawatan JKKK bersama Pembantu Khas ADUN Ketari, M Ramanujan dan wakil Jabatan Pengairan Saliran (JPS) ke tempat kejadian.
Ponama berharap tindakan segera diambil bagi memastikan hakisan tidak terus berlaku hingga mengakibatkan kejadian tidak diingini.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Gemeti, Zulkifli Kilau berkata, terdapat beberapa kawasan tebing sungai kawasan ini yang sudah dikenal pasti memerlukan penambahbaikan segera.
Menurutnya, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Datuk Dr Ng Keong Chye serta jabatan berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil.
Tebing gabion runtuh
Di Kampung Sungai Penjuring pula, tembok gabion yang dibina JPS dengan kos RM390,000 bagi menangani masalah tebing Sungai Penjuring dan tebing jalan turut runtuh akibat cuaca yang tidak menentu.
Seorang penduduk, Tam Tai San berkata, projek penambahbaikan cerun itu baru siap sepenuhnya dua bulan lalu namun runtuh kembali dalam minggu ini.
Menurutnya, keadaan ini berbahaya kerana terdapat tiga rumah penduduk terdapat di sekitar kawasan runtuhan.
“Apa yang membimbangkan juga terdapat rumah penduduk yang terkena hakisan teruk hingga menyebabkan bahagian dapur rumah rosak.
“Diharapkan tindakan segera dapat diambil untuk menangani masalah ini supaya tidak menimbulkan kejadian tidak diingini kepada penduduk yang tinggal di kawasan tembok itu,” katanya.
Jalan runtuh
Cuaca tidak menentu juga menyebabkan berlaku kejadian jalan runtuh di Batu 34 Jalan Karak- Pelangai Isnin lalu dan sehingga jam dua petang semalam ia masih belum lagi dibaiki.
Jalan runtuh hampir separuh jalan itu menyebabkan keadaan lalu-lintas agak terganggu dan berbahaya kepada pengguna terutama pada waktu malam.
Seorang warga emas, Chan Mok Ying, 65, menaiki motosikal dalam perjalanan memotong getah pada awal pagi Isnin lalu dipercayai mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Bentong akibat cuba mengelak runtuhan jalan itu.
Ketika kejadian berlaku, mangsa dipercayai tidak perasan runtuhan jalan itu kerana keadaan gelap dan setibanya di tempat kejadian, dia dikatakan cuba mengelak dari terjatuh ke dalam runtuhan itu.
Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Bentong, Zamani Omar ketika dihubungi berkata, kerja membaiki runtuhan jalan akan dibaiki secepat mungkin dan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, papan tanda amaran sudahpun diletakkan.
Labels:
runtuh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment