Thursday, December 2, 2010

Hamid jadikan kandang lembu tempat berteduh



KOK LANAS – Hidup melarat dan terbuang membuatkan Mohd Hamid Awang, 37, tiada pilihan lain sehingga menjadikan kandang lembu sebagai tempat berteduh daripada panas dan hujan.

Tinggal seorang diri di Kampung Batu Tinggi, di sini, dia yang hanya bekerja mengambil upah menjaga lembu penduduk kampung, bagaimanapun tetap bersyukur di atas anugerah berkenaan.

“Sebelum ini saya mempunyai rumah dan isteri tetapi selepas rumah kami roboh kerana keadaannya yang buruk, isteri sudah tinggalkan saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selepas itu hidup beliau semakin susah dan tidak mempunyai tempat untuk mengadu kerana ahli keluarga yang lain juga hidup melarat sepertinya.

Mohd Hamid berkata, mujurlah penduduk di sini bersimpati dengannya dan membenarkan dia membuat bangsal di kandang lembu tersebut.

Menurutnya, walaupun terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan dengan tiada bekalan air bersih dan elektrik, tetapi itu saja yang mampu.

“Kadang-kadang bila hujan lebat, saya terpaksa tidur di atas timbunan kayu yang ada di kandang lembu ini kerana air akan melimpah dan tempat tidur saya ditenggelami air,” katanya.

Mohd Hamid berharap ada pihak yang dapat memberikan bantuan serta sudi memberikan pekerjaan kepadanya agar hidupnya lebih terjamin lagi.

Menurutnya, dia tidak tahu untuk meminta bantuan sesiapa dan kekurangan yang ada pada dirinya menyebabkannya tidak mempunyai keyakinan untuk meneruskan hidup ini.

No comments:

Post a Comment