Thursday, December 2, 2010

Halang DBKL roboh surau



KUALA LUMPUR 1 Dis. - Ahli jawatankuasa (AJK) sebuah surau hari ini mengemukakan permohonan injunksi bagi menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meroboh atau menceroboh Surau An-Nur, Taman Setiawangsa dekat sini.
Permohonan itu terkandung dalam saman pemula yang difailkan melalui firma guaman Tetuan Boestamam Ahmad & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini.
Turut hadir sewaktu dokumen itu difailkan ialah Pengerusi AJK dan imam surau tersebut, Mohd. Yusof Wazir yang ditemani kira-kira 20 orang ahli kariah.
AJK surat tersebut selaku plaintif menamakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan defendan pertama dan DBKL defendan kedua.
Dalam saman pemula itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa pihak defendan tidak mempunyai sebarang hak untuk menceroboh atau merobohkan surau yang didakwa telah beroperasi melebihi 20 tahun.
Plaintif turut menuntut agar tapak surau itu dikekalkan atau digantikan dengan sebuah tapak surau baharu yang mempunyai keluasan yang sama iaitu 8,000 kaki persegi berhampiran lokasi lama.
Selain itu, mereka memohon perisytiharan bahawa tindakan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan DBKL melalui ejen atau wakil mereka cuba menanggalkan dan mencabut tempat wuduk serta menutup jalan utama ke surau itu adalah tidak sah, terbatal dan tidak mematuhi Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka turut meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar pihak defendan membuka semula jalan dan laluan ke surau terbabit, kos serta relif-relif lain yang sesuai.
Sementara itu, Mohd. Yusof ketika ditemui berkata, walaupun terdapat masjid yang terletak kira-kira satu kilometer dari surau itu, rumah ibadat itu masih dikunjungi orang ramai.
"Kami terpaksa memfailkan saman ini sebab kawasan berhampiran surau telah diratakan dan kami risau dengan nasib surau ini,'' katanya.
Menurut laporan Utusan Malaysia bertarikh 2 September lalu, surau yang terletak di Jalan 4A, Taman Setiawangsa itu bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan baru yang merangkumi pembinaan padang dan stadium mini untuk pelajar-pelajar sekolah berhampiran.
Tapak surau itu didakwa dimiliki Kementerian Pelajaran.

No comments:

Post a Comment