Thursday, December 2, 2010
Pesakit kronik minta sumbangan
MERBAU PULAS - Sudah jatuh di timpa tangga bagi bekas pesara tentera, Mohamad Abdullah 60, yang tinggal di Jalan Masjid Labu Besar yang menderita kerana penyakit kencing manis dan jantung.
Masalah semakin rumit apabila kini dia disahkan mengidap penyakit batu karang pula.
Menurutnya, akibat sakit batu karang yang serius, ia menyukarkan dia bergerak dan sakit.
Katanya, dia terpaksa terlantar di rumah dan akan menjalani pembedahan di Hospital Sungai Petani pada 4 Disember ini.
Apa yang menjadi masalah sekarang ini, menurutnya, dia tidak mempunyai wang untuk menampung perbelanjaan pembedahan dan perubatannya termasuk isteri yang menghidapi sakit buah pinggang kronik dan terpaksa berbaring di rumah.
Mohamad berkata, sehingga kini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya datang ke rumahnya sekali pada September lalu, tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang jawapan diterima.
“Sebelum ini saya memang menghidapi penyakit jantung dan kencing manis di mana betis kanan saya telah ditebuk. Sekarang ini keadaan kaki semakin pulih dan saya kini dihidapi pula penyakit batu karang yang serius.
"Saya tidak mampu menampung kos rawatan yang dikenakan. Selain itu saya juga harus mencari wang untuk membawa isteri saya bersama untuk mendapatkan rawatan dan jumlah dianggarkan RM20,000. Di mana saya mampu mencari jumlah wang sebanyak itu untuk mengubati penyakit kami berdua,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini hanya Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Labu Besar sahaja menghulurkan bantuan bagi meringankan bebanan selain Gerak Amal 1Malaysia yang datang ke rumahnya untuk menziarahi dan menyampaikan sumbangan wang tunai.
Dia meminta mana-mana anggota tentera dan ahli Pekida yang mengenalinya untuk memberikan sumbangan bagi membolehkan dia dan isteri mendapat rawatan yang sebaiknya.
Sementara itu, Pengerusi Pekida Labu Besar, Mohd Nordin berkata, beliau akan berbincang dengan penaung Gerak Amal 1Malaysia untuk membolehkan satu kerusi roda dan tongkat didermakan kepada isteri Mohamad supaya membolehkan dia bergerak.
“Saya sudah berbincang dengan Pengerusi Persatuan Gerakan Pengguna Parlimen Kulim Bandar Baharu, Mohd Zailan Hashim untuk memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga ini dengan seberapa segera. Sekiranya jabatan terlibat tidak dapat membantu, kita sebagai badan bukan kerajaan (NGO) akan meminta bantuan dari pusat dan memaklumkan mengenai masalah yang dihadapi oleh keluarga ini dan sehingga kini tidak ada bantuan diterima," katanya.
Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan yang dialami oleh keluarga Mohamad boleh menderma melalui akaun Maybank bernombor 152116155442 dengan nama Nurul Huda Mohamad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment