Thursday, December 2, 2010

Paksa diri bekerja walau menghidap gout




KUALA KRAI - Penyakit gout yang dihidapi sejak dua tahun lalu, menambahkan lagi keperitan hidup seorang penduduk miskin tegar, Mustafa Ibrahim, 52, dari Guchil, dekat sini.

Mustafa berkata, meski pun penyakit itu tidak mengizinkannya melakukan kerja berat namun dia tidak mempunyai pilihan, kecuali terpaksa juga menggagahkan diri keluar mencari rezeki bagi menyara keluarga.

Menurutnya, hasil daripada bekerja sebagai buruh binaan dengan pendapatan tidak menentu, dia sedaya upaya cuba menampung keperluan isteri dan tiga daripada lapan anaknya termasuk seorang yang masih bersekolah.

“Bila kerja macam ini (buruh binaan), kita tidak boleh berharap sangat kerana kadang-kadang dalam seminggu tidak ada kerja langsung. Lagi pun saya hanya bekerja di bawah orang, kalau dia panggil, baru ada kerja,” katanya.

Mustafa berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Bantuan Bayaran Sewa Rumah di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) di rumahnya, dekat sini.

Bantuan disalurkan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) itu, disampaikan Pegawai Pembangunan Jajahan Kuala Krai, Mohd Daud Abu Yazid.

Hadir sama Penolong Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penilaian JPP Kelantan, Norhidayah Mohd Noor dan Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Guchil, Samsudin Ariffin.

Mustafa berkata, dia amat bersyukur kerana dipilih sebagai penerima bantuan dan akan menggunakannya untuk membayar rumah yang disewanya pada kadar RM250 sebulan.

“Saya sekeluarga amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, terutama JPP kerana ini kali ketiga saya dipilih untuk menerima bantuan sewa rumah di bawah program ini, dan ini membantu meringkan beban saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, Mustafa antara 21 penduduk miskin tegar dari DUN Guchil dan DUN Manek Urai, yang terpilih untuk menerima bantuan itu pada tahun ini.

Katanya, bantuan itu bertujuan meringankan beban penerima yang tinggal di kawasan bandar, tetapi tergolong di bawah kategori penduduk miskin tegar dalam senarai e-Kasih.

No comments:

Post a Comment