Wednesday, May 11, 2011

100 penduduk dekat loji Fukushima dibenar pulang ambil barang peribadi



KORIYAMA (Jepun): Hampir 100 penduduk kampung berdekatan loji nuklear Fukushima Dai-ichi telah dibenarkan pulang seketika ke rumah mereka semalam untuk mengambil barangan peribadi.
Mereka, bagaimanapun, perlu memakai sut khas, pelitup dan gogal sebagai perlindungan terhadap pencemaran radiasi.Ini merupakan kali pertama kerajaan membenarkan penduduk yang menetap dalam lingkungan 20 kilometer di sekeliling loji nuklear itu pulang.Kawasan itu telah diisytiharkan sebagai zon larangan pada 21 April lalu selepas gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu menyebabkan kebocoran radiasi di loji Fukushima.Secara keseluruhan, lebih 85,000 orang telah diarahkan agar berpindah dari kawasan sehingga 30 kilometer di sekeliling loji itu.Semalam, sekitar 95 penduduk dari kampung Kawauchi-mura dibenarkan pulang ke rumah masingmasing selama dua jam.'Saya tidak sangka yang saya akan rasa begini gelisah untuk pulang ke rumah. Pihak berkuasa berkata kadar pencemaran radiasi tidak akan membahayakan kesihatan. Tetapi, saya tetap berasa bimbang,' kata seorang penduduk setempat, Encik Masao Yanai.Encik Yanai berkata setiap penduduk dibenarkan mengisi barangan peribadi seperti wang dan buku bank ke dalam beg plastik yang diberikan.'Saya tidak ingat di mana saya letak beberapa barang saya. Sukar meramalkan sama ada lawatan ini dapat saya manfaatkan sepenuhnya,' tambah Encik Yanai.Penduduk dilarang membawa binatang peliharaan, binatang ternakan, makanan atau air keluar dari zon itu.Selepas mereka kembali dari kediaman masing-masing, penduduk itu akan dibawa ke sebuah gimnasium awam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan kadar radiasi pada tubuh mereka.Sementara itu, kerajaan Jepun bercadang mengambil saham ekuiti syarikat pengendali loji Fukushima, Tokyo Electric Power Co (Tepco) bagi membantu membayar ganti rugi kepada rakyat negara itu yang terjejas.Presiden syarikat perbekalan berkenaan, Encik Masataka Shimizu, pula telah bertemu dengan pihak kerajaan semalam untuk meminta bantuan kerajaan dalam usaha membayar ganti rugi kepada mangsa krisis nuklear Fukushima.Menurut Encik Shimizu, pihaknya antara lain kini berdepan dengan masalah serius untuk mendapatkan dana daripada institusi kewangan. -- AFP.cyberita

No comments:

Post a Comment