Suruhanjaya selesai kumpul bukti 70 saksi
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock yang bersidang sejak 14 Februari lalu, berakhir semalam selepas saksi ke-70, pakar perunding forensik psikiatri, Dr Ba’diah Yahya selesai memberikan keterangannya.
Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen berkata, suruhanjaya sudah selesai mengumpulkan keterangan dan bahan bukti daripada semua saksi dengan dibantu barisan pegawai pengendali, peguam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam dari Majlis Peguam.
Cheng Yuen berkata, Suruhanjaya perlu mengemukakan laporan hasil siasatan itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada 24 Jun ini, jadi semua pihak perlu menghantar hujahan secara bertulis masing-masing sebelum 24 Mei ini.
Sementara itu, Dr Ba’diah yang mengetuai Unit Forensik Psikiatri, Hospital Permai Johor Bahru, dalam prosiding semalam, mengemukakan laporan yang disediakannya bersama pakar psikiatri Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri, Hospital Selayang, Dr Nor Hayati Ali, untuk membantu suruhanjaya.
Merujuk laporan itu, Dr Ba’diah berkata, selepas mengambil kira semua perkara mereka berpendapat besar kemungkinan Beng Hock membunuh diri daripada sebab kematian yang lain.
“Pemeriksaan pihak forensik di pejabat SPRM tidak menemui sebarang senjata, tanda pergelutan atau kesan darah. Malah tingkap yang dikatakan Beng Hock terjun, dalam keadaan terbuka dan ada kesan comot cap jari, telapak tangan serta kesan berminyak pada cermin tingkap,” katanya.
Dr Ba’diah berkata, berada dalam keadaan tidak dijangka (disiasat SPRM), Beng Hock dilihat cemas apabila dilihat pada tindakannya membuat 27 panggilan telefon termasuk majikannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ketika pegawai SPRM memeriksa pejabatnya.
Bagaimanapun, katanya, dengan mengambil kira kajian dibuat terhadap mereka yang berisiko tinggi membunuh diri, Beng Hock tergolong individu berisiko rendah untuk berbuat demikian.
Katanya, berdasarkan kajian kecenderungan seseorang membunuh diri dalam keadaan biasa adalah berbeza berbanding mereka yang berada dalam tahanan.
Dr Ba’diah berkata, disebabkan itu mereka berpendapat Beng Hock memiliki kedua-dua faktor iaitu yang mendorongnya dan menghalangnya daripada membunuh diri.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak berhak untuk menyatakan sama ada Beng Hock ditolak atau diheret keluar daripada tingkap kerana tiada bukti kukuh untuk mencadangkannya.
Sementara itu, profesor pelawat di Institut Psikiatri London, Dr Paul E Mullen, yang dijemput Majlis Peguam, berpendapat sebaliknya dan merumuskan sikap dan personaliti Beng Hock tidak menunjukkan dia seorang yang cenderung atau berisiko untuk membunuh diri.
No comments:
Post a Comment