Wednesday, May 11, 2011

Bapa maut dihempap lori




Lori membawa muatan kayu terbalik dan menghempap pemandunya di Kampung Batu 13, Besut, semalam.


BESUT 10 Mei - Seorang kanak-kanak meraung sambil meminta bantuan orang ramai untuk segera menyelamatkan bapanya yang kaku selepas dihempap lori dipandunya yang terbalik di Kampung Batu 13, Hulu Besut dekat sini malam tadi.
Mohd. Ikmal Hakim Zuraimi, 7, tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menjerit 'Tolong ayah, tolong ayah! apabila melihat bahagian pinggang bapanya, Zuraimi Jusoh, 40, ditindih kepala lori itu.
Sambil menangis, Mohd. Ikmal memeluk erat betis seorang penduduk, Azmi Saari, 34, yang tiba di tempat kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8.30 malam itu.
Ketika kejadian, Mohd. Ikmal bersama adiknya, Amirul Hamdi, 5, mengikut bapa mereka menaiki lori itu membawa muatan ke sebuah kilang kayu mini tidak jauh dari situ.
Azmi memberitahu, dia sedang menonton televisyen di rumahnya sebelum terdengar satu bunyi kuat dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.
Katanya, dia kemudian terus dipeluk oleh Mohd. Ikmal yang meminta bantuan untuk menyelamatkan bapanya yang dihempap lori tersebut.
Katanya, dia kemudian memanggil jiran dan rakan-rakan untuk membantu mengeluarkan mangsa dari bawah kepala lori muatan satu tan itu.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika lori yang dipandu mangsa mendaki kawasan berbukit namun ia tidak dapat dikawal setelah mengalami kerosakan brek.
Kenderaan itu dikatakan berundur sejauh 50 meter dan dalam keadaan cemas itu, mangsa dikatakan membuka pintu untuk melihat laluan tetapi bahagian belakang sebelah kiri lorinya terlanggar tiang konkrit Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Akibatnya, bapa kepada lima anak itu tercampak keluar sebelum dihempap oleh lorinya pada bahagian pinggang menyebabkan dia meninggal dunia di tempat kejadian.
Mohd. Akmal dan adiknya yang duduk di sebelah pemandu tidak mengalami kecederaan dan berjaya keluar sebelum orang ramai datang membantu mereka.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lapan Kotak dekat sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

No comments:

Post a Comment