Wednesday, May 11, 2011

Tripoli kembali bergegar



    NATO lancar siri serangan terbaru

    TRIPOLI: Pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan satu siri serangan terbaru ke atas ibu negara Libya dengan sekurang-kurangnya lapan letupan besar kedengaran sepanjang awal pagi semalam, manakala dua serangan dilancarkan berhampiran pejabat media beberapa jam sebelum itu, kata saksi.
    Laporan menyatakan, empat letupan kedengaran sejurus selepas jam 2 pagi semalam, menggegarkan tingkap sebuah hotel yang menempatkan sekumpulan wartawan, sebelum disusuli dua lagi letupan.
    Bunyi siren dan jeritan kedengaran selepas serangan, disusuli tembakan raifal dan senjata berat, ketika pesawat terbang melintasi ruang udara bandar raya itu.

    Awal kelmarin, saksi melaporkan mendengar dua letupan di ibu negara Libya itu ketika pesawat melintas di atasnya, manakala asap kelihatan berkepul berhampiran pejabat stesen televisyen Libya dan agensi berita JANA.

    Seorang pegawai berkata sekurang-kurangnya satu serangan terkena sebuah bangunan yang pernah dibom 30 April lalu dan menempatkan beberapa pejabat pertubuhan awam. 

    Seorang pengawal berkata bangunan itu terkena serangan kira-kira jam 11 malam. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. 
    Sementara itu, seorang doktor di Pusat Pembedahan Plastik dan Rawatan Melecur di kawasan Shariah Zawiya di Tripoli berkata, seorang pesakit muda cedera terkena serpihan kaca dari tingkap yang pecah akibat salah satu serangan.

    Wartawan tidak dibenarkan pergi ke lokasi serangan dikatakan berhampiran sebuah bangunan yang pernah digunakan sebagai pejabat perisikan tetapi kini menempatkan kementerian pertanian.

    Letupan berlaku selepas ketua NATO, Anders Fogh Rasmussen berkata pemimpin Libya Muammar Gaddafi semakin kesuntukan masa dan akan ‘menyedari bahawa tiada lagi masa depan untuk beliau dan rejimnya.’

    Pada 1 Mei lalu, anak Gaddafi, Seif al-Arab, dan tiga cucunya terbunuh dalam satu serangan di rumahnya di Tripoli. – AFP , bharian

    No comments:

    Post a Comment