Wednesday, May 11, 2011

Faktor bunuh diri lebih kuat


KUALA LUMPUR 10 Mei - Dua pakar psikiatri, Dr. Ba'diah Yahya dan Dr. Norhayati Ali berpendapat bahawa kemungkinan untuk Teoh Beng Hock membunuh diri dengan terjun dari tingkat 14, Plaza Masalam pada 16 Julai 2009 lebih kuat berbanding faktor-faktor penyebab kematian lain.

Berdasarkan laporan yang disediakan kedua-dua pakar itu, mereka menyimpulkan demikian selepas mengambil kira semua perkara termasuk ketiadaan tanda-tanda pergelutan, kesan darah dan senjata serta keadaan tingkap yang terbuka luas dengan kesan-kesan comot dan berminyak padanya.
Walaupun Beng Hock mempunyai emosi yang stabil serta sihat tubuh badan, mereka berpendapat setiausaha politik Exco Selangor itu mengalami dua peristiwa besar pada Julai 2009 yang menyebabkan dia lebih tertekan dan sekali gus menunjukkan keadaan mindanya ketika itu.
Peristiwa tersebut ialah tunangnya, Soh Cher Wei disahkan hamil pada 3 atau 4 Julai yang menyebabkan tarikh perkahwinan dipercepatkan kepada 3 Oktober 2009 serta kesibukan membuat persiapan perkahwinan dua minggu sebelum menemui ajal.
Begitu juga siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang turut menimbulkan kebimbangan apabila Beng Hock dilihat bertindak memberi peringatan kepada tujuh ADUN dalam tempoh yang sama.
Ba'diah yang turut memberi keterangan pada prosiding hari ini bagi menjelaskan beberapa isu dalam laporannya juga berpendapat, sebanyak 27 khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan yang dibuat oleh Beng Hock antara pukul 3.35 dan 6.15 petang, 15 Julai 2009 iaitu ketika pegawai SPRM membuat siasatan di pejabatnya menunjukkan dia berada dalam keadaan tertekan dan terdesak.
"Beng Hock juga keberatan untuk meninggalkan pejabat SPRM kerana tidak mahu mengambil dokumen yang diminta serta tidak mahu berhadapan dengan ketuanya sebab dia seorang yang suka membantu, menyelesaikan masalah selain setia kepada ketua dan organisasi.
"Beng Hock dilihat cemas berdasarkan corak panggilan yang dibuat. Beliau juga berubah sikap semasa di pejabat SPRM apabila berjalan mundar-mandir, tunduk ke bawah, banyak berfikir serta menyesal menyerahkan komputer ribanya kepada SPRM," jelas beliau.
Laporan kedua-dua pakar psikiatri itu bagaimanapun turut menyatakan Beng Hock mempunyai faktor-faktor yang menghalang dia membunuh diri walaupun mereka tidak berhak untuk menyatakan dia mungkin ditolak atau diheret ke tingkap kerana tiada bukti sedemikian.
Sementara itu, seorang lagi pakar psikiatri forensik, Profesor Paul E Mullen yang dilantik oleh Majlis Peguam Malaysia pula berpendapat, personaliti dan sikap Beng Hock tidak menunjukkan dia seorang yang berisiko atau cenderung untuk membunuh diri.
"Saya berpendapat, sebelum ditahan, Beng Hock berada dalam kumpulan berisiko rendah untuk membunuh diri. Sekiranya dia membunuh diri, bagi saya beberapa perkara mungkin timbul sehingga mengganggu kestabilan psikologinya serta menakutkannya sehingga menyebabkan kematian.
"Sekiranya ia dapat membantu suruhanjaya, saya boleh memberi nasihat bagi mengurangkan bunuh diri dan mencederakan diri sendiri dalam tahanan. Perkara pertama adalah memastikan pihak berkuasa tidak melakukan tindakan yang mendorong seseorang membunuh diri," katanya dalam laporan beliau.
Ba'diah bertugas sebagai Perunding Psikiatri Forensik di Hospital Permai Johor Bahru manakala Norhayati dari Jabatan Kesihatan Mental dan Psikiatri Hospital Selayang. Mullen pula merupakan profesor pelawat di Institut Psikiatri, London.
Mereka sebelum ini menemubual ahli keluarga Beng Hock serta beberapa rakan sekerja termasuk ketuanya, Ean Yong Hian Wah selain berpeluang meneliti pelbagai dokumen berkaitan seperti kenyataan Beng Hock, laporan bedah siasat termasuk lawatan ke tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment