Wednesday, May 11, 2011

Syukur diberi peluang hidup kedua






  BELLA (bukan nama sebenar),  ditemubual wartawan Berita Harian  di Sekolah Harapan dan Rumah Harapan   Melaka.
BELLA (bukan nama sebenar), ditemubual wartawan Berita Harian di Sekolah Harapan dan Rumah Harapan Melaka.

Remaja terlanjur kongsi masalah, azam mahu mengubah kehidupan

SEJAK beroperasi awal September 2010, Sekolah Harapan dan Rumah Harapan (SHRH) Melaka, di Jasin, mendapat sambutan daripada remaja perempuan yang hamil akibat keterlanjuran dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke situ. Bagaimanapun, sebelum penubuhannya direalisasikan, ia mendapat pelbagai reaksi masyarakat. Ada yang menyokong dan tidak kurang menentangnya. Ikuti tinjauan wartawan Berita Harian, Badrul Hizar Ab Jabar di pusat itu.
SAYA masuk ke sini atas kehendak sendiri dan bukan kerana desakan keluarga. Nyata keputusan ini tepat kerana saya gembira berada di sini,” kata seorang penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Bella.
Berusia 17 tahun, dia bukan saja gembira dapat bertemu rakan baru yang senasib, malah dapat menyambung pelajaran dan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November depan yang sebelum ini seperti tidak mampu dilakukannya.

Dalam keadaan sarat mengandung dan dijangka melahirkan zuriat Julai ini, dia beberapa kali melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang memulakan kehidupan kedua di rumah kebajikan berkenaan.

“Terima kasih kepada keluarga yang masih menerima saya dan memberi sokongan walaupun saya sudah mencalarkan nama baik mereka. Kami berbincang sebelum membuat keputusan menghantar saya ke sini. Saudara mara dan jiran tidak tahu saya hamil dan biarlah ia menjadi rahsia keluarga saja.

“Selepas bayi ini lahir, saya akan memberikannya kepada keluarga dan mahu sambung pelajaran yang tertangguh. Saya tak mahu ingat lagi kes itu dan biarlah ia lenyap daripada ingatan saya,” katanya yang mengakui mendapat maklumat kewujudan rumah kebajikan itu menerusi laporan akhbar yang disiarkan di internet.
Sejak menjadi penghuni di situ, Bella mengakui semakin tenang selepas tertekan agak lama akibat terlanjur bersama teman lelakinya. Ini kerana dia dapat berkongsi masalah dengan rakan senasib, sekali gus berazam mengubah kehidupan apabila keluar nanti.

“Saya mendapat bimbingan agama seperti solat dan membaca al-Quran, akademik, muhasabah diri dan tunjuk ajar pakar motivasi untuk menempuh masa depan apabila keluar nanti. Apa yang menarik, kami diberi tunjuk ajar menjadi ibu yang mampu mendidik anak supaya menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara. Selain itu kami diajar memasak dan mengemas,” katanya.

Bella juga menasihati remaja lain supaya tidak hanyut dalam keseronokan sehingga mengabaikan pelajaran dan cepat terpengaruh dengan ajakan rakan kepada perkara tidak berfaedah, sebaliknya sentiasa mengikut nasihat ibu bapa kerana semuanya untuk kebaikan diri.

Bagi Sara (bukan nama sebenar), walaupun tersilap langkah mengandung bayi hasil hubungan luar nikah, dia bersyukur kerana SHRH memberikan perlindungan, sekali gus mendapat didikan agama dan rohani.

Berusia 17 tahun, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu akan menyerahkan anaknya kepada keluarga untuk dijaga selepas bersalin. Dia juga bersyukur kerana masih ada pihak sudi menerima serta membantu ketika dia berdepan masalah.

“Kes pembuangan bayi berlaku mungkin kerana remaja yang terlanjur tidak tahu apa hendak dilakukan. Justeru, adalah penting pusat seperti SHRH diwujudkan. Di sini, pihak berkenaan berusaha memantapkan kembali iman, keyakinan dan pegangan kami yang terlanjur supaya tidak terus terpesong,” katanya.

Sara tidak setuju dengan tanggapan kononnya kewujudan sekolah untuk remaja terlanjur itu tidak wajar, sebaliknya berpendapat ia perlu bagi membimbing remaja sepertinya memperbaiki kehidupan. bharian

No comments:

Post a Comment