Wednesday, May 11, 2011

Khidmat Ketua Polis Negara lagi 2 tahun


KUALA LUMPUR: Tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dilanjutkan bagi tempoh dua tahun lagi berkuat kuasa semalam, selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. 


Keputusan untuk melanjutkan tempoh Ismail dibuat selepas mendapat pandangan dan persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana tempoh lapan bulan beliau menyandang jawatan nombor satu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak September tahun lalu dianggap terlalu singkat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Ismail sewajarnya diberi peluang lebih lama untuk membolehkannya merealisasikan pelan pembaharuan dan rancangan strategik PDRM secara menyeluruh.
“Harapan kita agar gandingan beliau (Ismail) bersama timbalannya, Datuk Khalid Abu Bakar akan dapat memastikan kesinambungan hala tuju PDRM dalam memastikan keamanan, keharmonian dan kestabilan negara. 

“Kita juga berharap Ismail dapat memikul tugas sebagai Ketua Polis Negara dengan sebaiknya dan tugas itu dilaksanakan dengan lebih lancar dengan kerjasama semua peringkat pegawai dan kakitangan PDRM,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam. 

Hishammuddin berkata, Ismail juga akan mengumumkan pelantikan beberapa pengarah baru bagi mengisi beberapa kekosongan jawatan tertinggi dalam PDRM pada minggu depan. 

“Tugas PDRM dilihat semakin berat dan berhadapan cabaran besar untuk menjaga kestabilan negara memandangkan wujudnya pelbagai perubahan landskap ancaman di dunia tanpa sempadan. 
“Oleh itu, kita memerlukan kepakaran semua pihak dalam PDRM untuk menangani semua ancaman ini yang dikhuatiri mampu menggugat keamanan negara sekiranya tidak ditangani dengan sebaiknya,” kata beliau. 

No comments:

Post a Comment