Sunday, July 3, 2011

AMK Kedah kecam penahanan



ANAK BUKIT - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah kecewa dengan sikap polis yang terus menerus membuat tangkapan terhadap pemimpin Pakatan Rakyat (PR) atau aktivis yang dikaitkan dengan penganjuran perhimpunan Bersih 2.0.

Setiausahanya, Nasiruddin Munir berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan tindakan melulu pihak polis menahan 14 ahli PKR Kedah, yang berhasrat mengadakan sidang media, namun disalah tafsir sebagai kempen mempromosi Bersih.

“Cara mereka ditahan tidak adil. Mereka bukannya lakukan provokasi tetapi hanya mahu sampaikan kenyataan akhbar. Ianya bukannya suatu kesalahan dan AMK menggesa polis lebih bersikap profesional dalam menangani isu ini,” katanya, yang turut hadir membantah penahanan ahli PKR sejak awal pagi.

Menurutnya, AMK turut meragui tindakan polis memeriksa setiap kenderaan yang mendekati kawasan Pasar Koboi dan Pusat Latihan PDRM Mentaloon, seolah-olah mereka mahu mencetuskan huru-hara.

“Kami bukannya mahu cetuskan rusuhan dan rasanya tidak perlu dilayan sedemikian rupa, terutama dengan kehadiran wakil rakyat dan Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Exco AMK Kedah yang juga Ketua AMK Pendang, Mohd Zaki Abd Razak menyifatkan parti itu tidak dilayan dengan adil kerana perhimpunan sama juga dibuat parti lawan sebelum ini tanpa diganggu pihak berkuasa.

“Saya harap tindakan undang-undang tidak memihak pada mana-mana parti politik, serta tidak dipengaruhi mana-mana pemimpin. Polis mesti telus bertindak dan jangan ada unsur pilih kasih,” katanya.

Menurutnya, AMK tidak tergugat dengan halangan yang dicetuskan mana-mana pihak dan akan terus memberi sokongan terhadap perhimpunan Bersih yang akan diadakan Sabtu depan.

Mohd Zaki berkata, apa yang dibangkitkan dalam perhimpunan Bersih adalah untuk menuntut pilihan raya yang lebih telus, dan bukannya mahu menimbulkan ketegangan.

“AMK Kedah berharap polis dan kerajaan membenarkan perhimpunan itu diadakan secara aman dan terkawal, untuk kami serahkan memorandum dan tidak perlu timbulkan isu ianya kelak boleh cetus kekacauan,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment