Sunday, July 3, 2011

Bendung huru-hara

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jeyakumar Devaraj dan lima lagi pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang direman kerana dipercayai cuba menyebarkan fahaman komunis pada 25 Jun lalu, semalam ditahan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969. Suspek boleh ditahan sehingga 60 hari tanpa perbicaraan.
Dr Jeyakumar ditahan selepas polis me ne mui bahan mengandungi unsur komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam bas dinaiki bersama 29 lain di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang 25 Jun lalu.
Dr Jeyakumar yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat PSM serta pembantunya, Choo Chon Kai merangkap Pengerusi PSM Bayan Baru; Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy; Ketua Pemuda PSM, R Sarabathu; Pengerusi PSM Sungai Siput, M Sukumaran dan Setiausaha PSM Sungai Siput, A P Letchumanan ditahan pada jam 1.20 petang sejurus mereka dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat, semalam.

Difahamkan tempoh tahanan reman 24 lagi ahli PSM yang berakhir semalam disambung bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata enam individu terbabit ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan yang boleh memudaratkan ketenteraman awam yang menjurus kepada cubaan untuk mewujudkan keadaan huru hara atau jenayah kekerasan.

“Tindakan menahan mereka adalah untuk membolehkan kita menjalankan siasatan lanjut kerana daripada siasatan dan maklumat yang kita terima, keenam-enam mereka mempunyai pembabitan dengan beberapa pihak di luar negara yang ada kaitan dengan anasir subversif.
“Oleh itu, kita terpaksa menahan mereka bagi membendung kegiatan subversif atau samseng yang cuba disebarkan mereka,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, semalam.

Katanya, dengan penahanan enam individu itu menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan membabitkan mereka yang cuba menghasut dan mempromosi perhimpunan haram di seluruh negara kepada 150 orang, manakala jumlah laporan polis oleh orang ramai yang membantah perhimpunan itu bertambah kepada 2,389 laporan setakat kelmarin.

Di SHAH ALAM, polis menahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu kerana dipercayai menghasut rakyat supaya menyertai perhimpunan haram di ibu negara dalam satu ceramah di Hulu Selangor, tengah malam kelmarin.

Ronnie yang juga Exco Kerajaan Selangor ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas berucap dalam ceramah berkenaan apabila kenderaan yang dinaikinya bersama beberapa pemimpin pakatan rakyat dipintas sepasukan polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, bagaimanapun, berkata Ronnie dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan dirakamkan.

“Keterangannya direkodkan di Balai Polis Hulu Selangor serta disiasat mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 dan 109 Kanun Keseksaan. Polis akan melengkapkan kertas siasatan membabitkan Ronnie dan individu lain yang ditahan polis sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi dialog bersama pemimpin setempat dalam Program Komuniti Polis di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini.

Di KOTA KINABALU, enam lelaki dan seorang wanita ditahan di sebuah restoran di Asia City, di sini pagi semalam kerana dipercayai mencuba mempengaruhi orang ramai menyertai perhimpunan haram pada 9 Julai ini.

Mereka ditahan pada jam 10.30 pagi kerana memakai baju kuning dan cuba mengajak orang ramai menyertai perhimpunan itu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di Karamunsing di sini.

Di ALOR SETAR, polis menahan 14 orang, termasuk tiga wanita kerana didapati bersubahat cuba menghasut orang ramai menyertai BERSIH di Kuala Lumpur, Sabtu depan.

Semua mereka ditahan pada jam 9.30 pagi semalam ketika cuba mengadakan sidang media bagi mengajak orang ramai menyertai perhimpunan haram dan membantah tindakan polis menahan aktiviti BERSIH di sebuah restoran di Pekan Koboi di sini.
Antara yang ditahan ialah Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulim Bandar Baharu, Suraya Hashim; Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR negeri, Gooi Hsiao Leung dan Ketua PKR Cabang Kulim Bandar Baharu, Saari Fadzil Hud. Berita Harian Online | Bendung huru-hara

No comments:

Post a Comment