UALA LUMPUR: “Wang kemenangan ini akan digunakan untuk membawa ibu bersama-sama mengerjakan ibadat haji di Makkah,” kata Mohd Hassan Adli Yahaya, 26, selepas diumumkan sebagai Imam Muda Unggul Musim Kedua, kelmarin.
Menurutnya, kemenangan itu adalah berkat doa ibunya yang tidak putus-putus memberinya sokongan dan semangat untuk berjaya.
Katanya, sejak kematian ayahnya ketika dia berusia tujuh tahun, kesusahan hidup terpaksa ditanggung ibu, Arpah Mohd Nor, 60, yang memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa bagi keluarga berkenaan.
“Dialah ibu dan ayah bagi saya, jadi tidak salah rasanya jika saya berkongsi kasih dengan wanita paling istimewa dalam hidup saya yang bersusah payah mendidik saya sejak kecil dengan ilmu dunia dan akhirat.
“Memang jauh jika nak dibandingkan hadiah yang akan saya berikan kepada ibu dengan jasanya yang tidak pernah merungut membesarkan dan mendoakan kesejahteraan saya,” kata anak kelapan daripada sembilan beradik berasal dari Perak itu.
Imam Muda Hassan dinobatkan sebagai Imam Muda Unggul selepas menewaskan Nazrul Izwan Zolkiflee, 26.
Beliau membawa pulang wang tunai RM55,000, biasiswa pengajian di Universiti Antarabangsa al-Madinah (Mediu), sebuah kereta Proton Exora, pakej percutian ke Vietnam dan pelbagai hadiah iringan.
Menurutnya, dia belum ada perancangan untuk masa depannya selepas ini sama ada meneruskan karier sebagai pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa atau sebaliknya.
Katanya, selepas ini dia akan pulang bercuti bersama keluarga di kampung selepas tiga bulan dalam program Imam Muda.
“Mengenai perancangan hidup selepas ini, saya merancang mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat kerana seorang imam memang dituntut untuk mendirikan rumah tangga awal,” katanya.
Ditanya mengenai titisan air mata yang sering membasahi pipinya ketika di pentas, dia mengakui sering teringatkan arwah bapanya setiap kali perkataan ayah disebut pengendali rancangan.
Mudir program berkenaan, Datuk Hassan Mahmood berkata, perbezaan markah antara kedua-dua peserta terlalu kecil iaitu tidak sampai lima markah.
No comments:
Post a Comment