Sunday, July 3, 2011

KDN isytihar BERSIH haram

Pertubuhan bukan berdaftar: ROS

PUTRAJAYA: Berkuat kuasa Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengisytiharkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sebagai pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.
Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), Datuk Abdul Rahman Othman, dalam satu kenyataan semalam, berkata keputusan itu dibuat berikutan hasil siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mendapati BERSIH 2.0 yang merancang mengadakan perhimpunan haram Sabtu depan, bukanlah pertubuhan berdaftar.
Abdul Rahman berkata pengisytiharan itu membolehkan KDN mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang memiliki barangan termasuk kemeja-T dan kasut yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan haram BERSIH 2.0.

“Walaupun BERSIH 2.0 bukan pertubuhan berdaftar, ia memenuhi takrifan pertubuhan berdasarkan Jadual 1, Akta Pertubuhan 1966.

“Ini termasuklah bergerak aktif dan mencetuskan kegelisahan serta kebimbangan masyarakat pelbagai kaum dan menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan risalah tertentu.

“Aktiviti BERSIH juga bukan hanya boleh memberi kesan buruk kepada imej negara, malah boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Sebelum ini, Berita Harian melaporkan pertubuhan yang berdaftar dengan ROS boleh dikenakan tindakan tegas termasuk pembatalan pendaftaran, jika dibuktikan terbabit dengan kegiatan yang mengancam ketenteraman atau keselamatan awam.

Abdul Rahman juga berkata, pihaknya akan mendapatkan kerjasama dan maklumat daripada polis untuk mengenalpasti mana-mana pertubuhan yang didapati terbabit dengan perhimpunan haram yang dirancang diadakan pada 9 Julai ini kononnya untuk menuntut pilihan raya bersih dan adil.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966, ROS boleh mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pihak berkaitan jika ada maklumat menyatakan sesuatu pertubuhan sah terbabit dengan kegiatan yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam, termasuk perhimpunan haram.
Berita Harian Online | KDN isytihar BERSIH haram

No comments:

Post a Comment