Saturday, July 2, 2011

Chavez akui jalani pembedahan ketumbuhan kanser

CARACAS: Presiden Venezuela, Hugo Chavez, mengaku menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kanser, menamatkan spekulasi sejak beberapa minggu lalu berhubung keadaannya dan ketiadaannya di khalayak awam.

“Kajian mengesahkan wujud ketumbuhan dengan sel kanser,” kata Chavez kelmarin, ucapan pertama disiarkan di televisyen sejak dikejarkan ke hospital di Cuba tiga minggu lalu.
Pemimpin anti-Amerika Syarikat berusia 56 tahun itu dimasukkan ke hospital 10 Jun lalu ketika satu kunjungan negara dalam apa yang dikatakan pegawai pada mulanya sakit pelvis dengan nanah dalam perut.
Pembedahan pertama menemui ketumbuhan kanser dan pembedahan kedua perlu untuk mengeluarkan sel, namun Chavez tidak mendedahkan di mana ketumbuhan ditemui atau jenis kanser yang dikesan.

Dalam ucapan emosi lewat malam disiarkan di Venezuela, beliau melahirkan harapan untuk pulih sepenuhnya sambil mengakui melakukan kesilapan kerana mengabaikan kesihatannya sejak beberapa tahun lalu.

Berbeza dengan ucapan spontan yang amat panjang sering berjam-jam lamanya, ucapan yang dirakam Chavez dibaca mengikut skrip selama 15 minit.

Ditemani imej hero kemerdekaan Venezuela, Simon Bolivar di sebelah dan bendera negara, pemimpin yang dipilih semula tiga kali sejak 1998 kelihatan agak kurus namun bersemangat ketika berucap.
Ketiadaannya ketika Venezuela mengalami krisis besar tenaga dan selepas satu rusuhan penjara yang mengakibatkan 29 orang maut mencetuskan perasaan berang di beberapa pihak.

Namun, Chavez menegaskan beliau masih mampu mengawal keadaan.

“Saya masih mengawal kerajaan Venezuela,” katanya, menambah beliau sering berkomunikasi dengan Naib Presiden, Elias Jaua dan anggota pentadbirannya.

Presiden pengeluar terbesar minyak Afrika Selatan dan pemimpin kiri radikal Amerika Latin itu bagaimanapun, tidak memberi petunjuk bila akan pulang.

Keadaan perubatannya dilingkari misteri, yang semakin mendalam Rabu lalu apabila sidang kemuncak serantau yang dijangka diadakan di Venezuela ditangguhkan.

“Presiden berada dalam proses tegas pemulihan dan rawatan perubatan,” kata Kementerian Luar Venezuela tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Pengunduran luar biasa Chavez dari pandangan umum menyebabkan ramai rakyat Venezuela membuat spekulasi beliau mungkin menjalani pembedahan plastik, menyembunyikan penyakit lebih serius atau mengumpul simpati sebelum cubaan pemilihan semula 2012. – AFP Berita Harian Online | Chavez akui jalani pembedahan ketumbuhan kanser

No comments:

Post a Comment